KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa sebagai seorang yang tidak patriotik apabila sanggup mengaku sebagai rakyat Indonesia semata-mata malu dengan tahap rasuah yang tinggi di Malaysia.
Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, beliau cukup sedih membaca pengakuan terbuka Datuk Seri Mohd Shukri Abdull seperti yang dilaporkan media semalam.
Sebagai ketua sebuah agensi kerajaan yang berpengaruh, adalah tidak sesuai untuk Shukri membuat pengakuan sedemikian.
“Pada pandangan saya setiap rakyat sesebuah negara, perlu ada sikap patriotik yang tinggi. Tidak kira buruk mana pun negara kita kerana itulah tanah air kita, jangan sesekali malu.
“Sebaliknya, sebagai rakyat, kita perlu ada sikap, tanggungjawab dan iltizam untuk memperbaiki kekurangan negara, tidak kira dengan apa cara sekali pun.
“Tetapi, jangan sesekali tidak mengaku sebagai rakyat di negara. Semangat patriotik perlu kuat terutama individu-individu yang berkaitan kerajaan,” katanya di sini.
Semalam, Mohd Shukri berkata, beliau malu untuk mengakui rakyat Malaysia apabila bertemu dengan warga asing ketika berada di luar negara kerana malu dengan rasuah di negara ini.
Sehingga pada satu peringkat beliau mengaku sebagai warga Indonesia.
Mohd Shukri berkata, amalan rasuah di negara ini adalah membimbangkan kerana amat tinggi.
Malaysia memperoleh skor 52 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2014, hampir tidak lulus dan berada dalam kelas C.
Indeks Persepsi Rasuah pada 2016 penarafan itu naik kepada 49 dan tahun lalu Malaysia mendapat markah 47.
Pada tahun ini, Malaysia mencatat penurunan sebanyak tujuh tangga dan kini berada pada kedudukan ke-62 daripada 180 negara dalam indeks rasuah dikeluarkan oleh Transparency International (TI), prestasi yang terburuk sejak 5 tahun lepas.
Di ASEAN pula, Malaysia berada pada kedudukan ketiga dalam kalangan 10 negara – masih jauh ketinggalan berbanding Singapura dengan 84 markah dan Brunei 62.
Di tempat teratas dalam kalangan ASEAN adalah Singapura dengan 84 markah, yang juga mendapat tempat ke-6 dalam kedudukan antarabangsa, diikuti Brunei dengan 62 markah.
Untuk rekod, Indonesia berada pada kedudukan 96 dengan skor sebanyak 37 dalam Indeks Persepsi Rasuah di ASEAN pada tahun 2017.
Manakala Pada tahun 2016 di tangga ke 90, 2015 (88) berbanding Malaysia pada kedudukan 54 dan 2014.
Malah, Indonesia mendapat skor 32 masing-masing pada tahun 2012 dan 2013 dan 34 pada tahun 2014 berbanding Malaysia 49 (2012), 50 (2013) dan 52 (2014).
Kok Seong menambah, mana-mana individu yang memimpin agensi kerajaan perlu berhati-hati dan berhemah dalam mengeluarkan kenyataan.
Malah, perkara sama juga perlu dititikberatkan oleh ahli politik terutama dalam kalangan orang muda.
“Sesiapa pun mereka perlu ada sikap sebagai negarawan. Sikap ini penting supaya individu berkenaan memiliki sikap berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka.
“Jangan pentingkan diri sendiri dan terlalu politiking, kena pupuk sikap toleransi, nilai-nilai murni sebagai pemimpin,” ujarnya penuh makna.
– MalaysiaGazette