Home Utama Peguam sahkan Rosmah dituduh di mahkamah 3 petang esok

Peguam sahkan Rosmah dituduh di mahkamah 3 petang esok

K Kumaraendran
Peguambela, K. Kumaraendran hadir di Ibu Pejabat Sururanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ketika anak guamnya yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi keterangan berhubung dakwaaan penyelewengan kerajaan dahulu di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pukul 3 petang esok.

Perkara itu diberitahu peguamnya, Datuk K Kumaraendran kepada pemberita di luar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Kumaraendran turut mengesahkan kehadiran Rosmah ke agensi penguatkuasaan undang-undang itu untuk diambil keterangan namun, tidak menyatakan sebabnya.

“Saya hanya boleh mengesahkan beliau (Rosmah) akan dibawa ke mahkamah pukul 3 petang esok,” katanya yang turut menyatakan anak guamnnya itu telah meninggalkan bangunan tersebut pukul 2.35 petang tadi.

Difahamkan, Rosmah meninggalkan bangunan SPRM melalui pintu di bahagian belakang tempat letak kereta tanpa disedari wartawan dan jurugambar yang menunggu di situ sejak pukul 8 pagi tadi.

Terdahulu, Rosmah hadir untuk diambil keterangan pukul 11.40 pagi tadi dengan menaiki kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WLG 11 diiringi sebuah kenderaan lain jenis Proton Waja dengan nombor pendaftaran XI ASEAN 360.

Rosmah hadir untuk diambil keterangan berhubung dakwaan terlibat dengan enam pertuduhan membabitkan projek hibrid solar RM1.25 bilion di kawasan pedalaman di Sarawak.

Pada awal Jun, laman web Sarawak Report melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah di pedalaman di Sarawak.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan bersama bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Hari ini sumber SPRM memberitahu, Rizal telahpun ditahan di lokap SPRM sejak kelmarin selepas beliau diambil keterangan berhubung kes berkenaan. – MalaysiaGazette