Home Utama PKR tidak kemuka nama, rombakan itu hal perdana menteri – Anwar Ibrahim

PKR tidak kemuka nama, rombakan itu hal perdana menteri – Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto IQBAL BASRI, 14 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menggelengkan kepala menafikan sebarang pengetahuan tentang ura-ura akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Malah kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, pihaknya tidak pernah menghantar sebarang nama bagi menggantikan menteri atau timbalan menteri sedia ada di dalam barisan Kabinet ketika ini.

Jelas Anwar, setakat ini kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri masih dalam keadaan sama dan tidak ada sebarang perubahan.

“Setahu saya tidak ada sesiapa dalam parti yang memaklumkan kepada saya ada keperluan menghantar nama atau sudah menghantar sebarang nama selepas pemilihan PKR. Malah saya juga tidak tahu tentang ada keperluan perubahan itu.

“Jadi pendirian dalam parti, buat masa ini tidak ada apa-apa perubahan dengan barisan Kabinet yang ada kini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Beliau mengulas laporan media sejak akhir-akhir ini yang kuat mengatakan berkemungkinan besar berlakunya rombakan Kabinet berikutan prestasi beberapa menteri tidak memuaskan hati Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, Tun Mahathir semalam juga tidak menolak tentang perkara tersebut jika PKR mengemukakan nama-nama baharu selepas parti itu selesai melakukan pemilihan parti kelmarin.

Bagaimanapun, kata perdana menteri, beliau mempunyai pandangan sendiri jika PKR mengemukakan nama-nama baharu.

Mengulas lanjut, Anwar yang bakal diangkat sebagai Perdana Menteri ke-8 berkata, kemenangan beliau di Port Dickson baru-baru ini bukan satu penyebab keputusan untuk merombak Kabinet dilaksanakan secepat ini.

“Saya ini Ahli Parlimen sahaja, hal berkaitan dengan rombakan Kabinet adalah soal Perdana Menteri,” ujarnya. –MalaysiaGazette