KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengagumi keberanian, wawasan dan dedikasi pengasas dan bekas Presiden Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood yang sanggup meninggalkan keselesaan hidupnya demi untuk membantu mangsa bencana di dalam dan luar negara.
Jelas baginda, dunia memerlukan seorang pemimpin yang berani dan berwawasan untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran yang sentiasa berubah-ubah setiap hari di samping tidak gentar untuk keluar dari zon selesa.
“Dr. Jemilah mempunyai kerjaya yang hebat sebagai pakar sakit puan di Kuala Lumpur ini tetapi beliau masih bersemangat dan sanggup meninggalkan keselesaanm hidup dan mengambil jalan yang lebih sukar untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik.
“Beliau mengabdikan diri kepada misi-misi kemanusiaan untuk membantu golongan yang sangat memerlukan di dunia ini terutamanya mangsa bencana alam atau peperangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Tenaga Kepimpinan Asia ICLIF di sini hari ini.
Selain Dr. Jemilah, Sultan Nazrin turut mengagumi semangat, sikap pemurah dan kehebatan pengasas Microsoft, Bill Gates, pengasas Sulabh International, Dr. Bindeshwar Pathak yang mempunyai iltizam yang tinggi untuk mengubah taraf hidup rakyat di negaranya India menerusi penambahbaikan kemudahan sanitasi.
“Setiap hari sentiasa ada cabaran baharu yang terpaksa kita hadapi dan setiap hari juga muncul seorang pemimpin baharu.
“Inilah progres yang dapat dilihat di dunia terutamanya perubahan pantas sejak 100 tahun kebelakangan ini.
“Ini adalah hasil daripada pemimpin-pemimpin inovatif yang tidak membenarkan diri mereka takut dengan cabaran.
“Sentiasa ada seseorang yang akan menjadi ketua dan sentiasa ada seorang individu yang luar biasa yang mana akan lebih terserlah berbanding ketua-ketua yang lain; yang mempunyai sifat kemanusiaan yang lebih tinggi; yang akan dikenang lebih lama oleh masyarakat dan umat manusia seluruhnya.
“Jika kita merenung kembali sejarah, kita akan menemui satu titik persamaan yang menghubungkan pemimpin-pemimpin hebat ini; mereka mempunyai halatuju yang jelas, kepercayaan yang kukuh, sanggup berkhidmat, mempunyai moral yang tinggi dan keazaman untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik,” katanya lagi.
Menurut Sultan Nazrin, walaupun jarang ditemui kepimpinan hebat dalam golongan politik, baginda menyifatkan penggerak transformasi China, Deng Xiaoping sebagai seorang pemimpin politik terhebat.
“Lelaki itu, tuan-tuan dan puan-puan, adalah seorang pemimpin China yang hanya berkuasa kira-kira sedekad sahaja tetapi mempunyai pengaruh yang sangat besar dan melebihi tempoh beliau berkuasa.
“Deng pastinya berbeza dengan pemimpin-pemimpin yang saya sebutkan tadi tetapi tindakan radikalnya memberikan impak yang sangat hebat dan inilah antara kualiti yang perlu ada bagi seorang pemimpin yang berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette