Home Nasional Wanita maut dalam nahas tiga kenderaan

Wanita maut dalam nahas tiga kenderaan

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

PEKAN – Seorang wanita maut manakala dua anaknya cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 9, Jalan Chini-Kuantan di sini, lewat malam semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata dalam kemalangan pukul 11.30 malam itu, mangsa Mahfuzah Mat Ali, 28, yang berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Chini.

Dua anaknya Muhammad Hilman Anaqi Abdul Raqib, enam tahun, dan Muhammad Hilman Wakeel, lapan bulan, pula cedera di kepala, kaki serta tangan dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

“Kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux, Proton Wira dan Kia Spectra yang dipandu mangsa.

“Kejadian dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu Toyota Hilux yang mengubah haluan secara tiba-tiba di laluan garisan berkembar dan pemandu Proton Wira tidak sempat mengelak ekoran jarak yang terlalu rapat.

“Ia menyebabkan kereta Proton Wira itu dirempuh pada bahagian kanan sebelum bertembung pula dengan kereta Kia Spectra dinaiki mangsa yang datang dari arah Bandar Chini menuju ke Chini Timur,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Amran menambah pemandu Proton Wira Umar Bidin, 68, yang merupakan peneroka Felda Chini cedera ringan di bawah dagu manakala pemandu Toyota Hilux yang berusia 29 tahun juga cedera di kepala.

Katanya, jenazah Mahfuzah dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat pada hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA