Home Politik Azmin sebaris Anwar di Kongres Keadilan yang bermula esok

Azmin sebaris Anwar di Kongres Keadilan yang bermula esok

Mohamed Azmin bakal menjadi saingan sengit Anwar pada masa akan datang.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal duduk sebaris dengan Presiden baharunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam barisan Majlis Pimpinan PKR bagi penggal 2018 – 2021.

Namanya tidak diragui lagi sebagai Timbalan Presiden PKR, selepas menewaskan pencabar tunggalnya, Rafizi Ramli dalam Pemilihan Keadilan 2018 bermula September lalu.

Selain Mohamed Azmin, bekas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin turut memenangi jawatan Naib Presiden, diikuti Dr Afif Bahardin bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Haniza Talha untuk Ketua Wanita.

Nurul Izzah Anwar mengetuai senarai Naib Presiden diikuti Dr Xavier Jayakumar dan Tian Chua, manakala Timbalan Ketua AMK ialah Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita PKR, Daroyah Alwi.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menang dalam pemilihan berakhir Sabtu lalu, Amiruddin Shari, Mohd Rashid Hasnon, R. Sivarasa, Rahimah Majid,  Abdullah Sani, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid, Mohd Radzlan Jalaluddin, Mansor Othman, Datuk Kamarudin Jaafar, Larry Sng,  Nik Nazmi Nik Ahmad, Azmizam Zaman Huri, Nurin Aina, Gan Pei Nei, Zaliha Mustafa, R. Santhara Kumar, Hee Loy Sian dan Lee Khai Loon.

Semua barisan kepimpinan baharu PKR ini akan diumumkan pada Kongres Keadilan ke-13 yang berlangsung selama tiga hari mulai esok di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC).

Ahad lalu, Mohamed Azmin telah mengumumkan kemenangannya dalam pemilihan parti kali ini walaupun berhadapan cabaran sengit dari Rafizi.

Dalam suatu kenyataan yang ditandatangani beliau sebagai Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana meneruskan “agenda sebenar reformasi”.

Sementara itu, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan masih lagi tidak mahu mengaku kalah dan mengharapkan akan menang dalam pertandingan itu.

Menurut keputusan tidak rasmi, Mohamed Azmin mendapat 67,449 undi, manakala Rafizi mendapat 62,716 undi, dengan majoriti 4,733 undi. – MalaysiaGazette