PUTRAJAYA – Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Peringkat Nasional bagi menyelaraskan kesemua aspek berkaitan dengan sektor TVET di negara ini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa itu akan memastikan TVET dilaksanakan dengan berkesan membabitkan kesemua kementerian dan agensi.
“Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia akan menjadi penyelaras Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Peringkat Nasional,” katanya.
Mengenai Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET bagi melihat isu TVET di peringkat Kementerian Pendidikan pada Jun lepas, Maszlee berkata, Kabinet turut bersetuju memberikan beliau (Nurul Izzah) mandat melaksanakan kajian merentasi kesemua kementerian. – Bernama