Home Politik Rafizi akan mempunyai peranan dalam parti – Azmin Ali

Rafizi akan mempunyai peranan dalam parti – Azmin Ali

Azmin
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melambai tangan ke arah para perwakilan hadir pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Wanita sempena Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali percaya parti akan memberikan jawatan kepada pencabarnya, Rafizi Ramli, bagi meneruskan usaha memperkukuhkan parti itu.

Jelasnya, pengalaman Rafizi selama beberapa tahun dalam PKR akan dapat memudahkan kerjasama mereka berdua demi membuat persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Saya percaya sahabat saya saudara Rafizi Ramli akan mempunyai peranan dalam parti. Dia telah mainkan peranan bertahun-tahun, saya rasa saya boleh bekerjasama dengan Rafizi untuk mengukuhkan parti untuk persediaan pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita Ke-13 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Dalam pada itu, Azmin nafi mengumumkan dirinya menjadi pemenang dalam pertandingan dua penjuru pada pemilihan PKR sebelum diumumkan secara rasmi.

Sebaliknya Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menegaskan, media telah membuat laporan yang tidak tepat mengenai paparan twitternya beberapa hari lalu apabila mengucapkan terima kasih di atas usaha mengekalkan reformasi PKR.

“Itu kerana kesilapan pihak media memberikan laporan yang tidak tepat, saya tidak pernah claim kemenangan sehinggalah pihak JPP mengumumkan secara rasmi kalau saudara melihat twit saya, saya sekadar menyatakan alhamdaulillah dan bersyukur, berterima kasih kepada semua anggota parti yang berjaya meneruskan agenda reformasi.

“Di mana yang saya katakan kemenangan dalam twit tersebut? Cuma mungkin ada pihak yang tersilap dalam membuat laporan. Saya maafkan, tetapi saya berharap lain kali hati-hati dalam membuat laporan kerana saya tetap mematuhi prosedur dan peraturan parti dan kita menyerahkan kepada JPP untuk melaksanakan tugas mereka dan selesai proses ini pastinya JPP akan buat pengumuman rasmi tentang kepimpinan dalam AMK Wanita dan parti,” ujarnya.

Azmin sebelum ini mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana meneruskan “agenda sebenar reformasi.”

Beliau turut membuat pengumuman yang sama di dalam Twitter peribadinya. – MalaysiaGazette