KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta kira-kira jam 2 petang tadi bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau yang ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam diiringi oleh pegawai-pegawai agensi penguatkuasaan undang-undang rasuah itu.
Tengku Adnan yang berbaju batik ungu akan dituduh bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon di Mahkamah Sesyen setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.
Sementara itu Datuk Rizal Mansor iaitu bekas pegawai khas kepada isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut tiba di mahkamah kira-kira 20 minit selepas kehadiran Tengku Adnan.
Rizal bersama Rosmah dijangka berhadapan pertuduhan berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.
Rosmah telah dipanggil di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12.00 tengah hari semalam bagi melengkapkan proses akhir siasatan. – MalaysiaGazette