Home Ekonomi Bernas pamer 50 jenis beras pada MAHA 2018

Bernas pamer 50 jenis beras pada MAHA 2018

KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang akan menyertai pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2018 akan memperkenalkan lebih 50 variasi beras tempatan dan serantau.

Pameran itu akan diadakan di ruang pameran A214 di Dewan A dan juga di Laman Padi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) selama 11 hari mulai 22 November ini.

Antara jenis beras yang akan dipamerkan termasuklah 20 jenis beras tempatan dari Sabah dan Sarawak serta 30 jenis beras dari negara Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Korea Selatan, Jepun, India, Pakistan dan Bangladesh.

Bernas berkata, ruang pameran ini juga akan dijadikan platform perkongsian maklumat menarik mengenai tugas
dan tanggungjawab Bernas dalam membangunkan industri padi dan beras negara seperti Skim Pengilang Bumiputera, Pengurusan Pengagihan Subsidi Harga Padi, Pemutuan Padi dan maklumat beras plastik.

Pelbagai aktiviti menarik seperti ‘Wheel of Possibility,’ pertandingan Badang dan juga pertandingan menganggar berat beras akan turut diadakan di ruang pameran ini.

Lebih menarik, hadiah bekalan beras selama setahun juga bakal dibawa pulang oleh pengunjung yang bertuah.

Tambah Bernas, seperti tahun-tahun sebelum ini, Laman Padi juga akan dimeriahkan dengan penyediaan juadah
bubur lambuk yang amat sinonim syarikat itu.

Menariknya tahun ini, bubur lambuk yang disediakan akan menggunakan pelbagai jenis beras seperti beras merah, beras putih tempatan, beras perang, beras wangi dan lain-lain lagi.

Tidak hanya tertumpu kepada juadah bubur lambuk, Bernas juga akan menyediakan beberapa jenis makanan lain yang berasaskan beras seperti Putu Mayam, Inang-inang, Pongal dan juga bubur Congee kepada pengunjung di Laman Padi. – MalaysiaGazette