Kemenangan Haniza yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya itu diumum Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Ismail Yusop pada Kongres Nasional Wanita PKR 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Sementara itu, ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi diumum sebagai Timbalan Ketua Wanita, manakala Faizah Ariffin, Sangeetha Jayakumar dan Wasanthee Sinnasamy sebagai Naib Ketua Wanita.
Kongres bertemakan ‘Wanita Muafakat Terus Mara’ yang bermula hari ini disertai seramai lebih 1,000 perwakilan termasuk pemerhati daripada cabang seluruh negara.
Turut diumum 20 anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Wanita iaitu Catherine Jok Uvang, Ginie Lim Siew Lin, Hasmoni Tamby, Juwairiya Zulkifli, Kavitha Chandragesen, Loo Voon May, Mahani Abdul Moin, Manja Maydin, Meera Deevarajoo, Monaliza Mokhtar, Napsiah Khamis, Nor Ashidah Ibrahim, Nurainie Haziqah Shafi’i, Nursiah Ismail, Nurul Hajar Mardhiah, Raiyan Abdul Rahim, Sarimah Lisut, Shoba Selvarajoo, Thilagavanthy Selvanathan dan Zulhaidah Suboh.
Sementara itu, dalam sidang media, Haniza berkata beliau akan memanggil semua anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Wanita yang baharu dilantik itu untuk berbincang tentang pelan tindakan seterusnya sayap parti itu.
“Dalam majlis kepimpinan baharu ini, ramai juga menampilkan muka-muka baharu merentasi negeri sehingga ke Sabah selain wakil rakyat serta exco kerajaan negeri. Saya meletakkan harapan yang tinggi pada ‘pasukan’ ini dengan adanya muka baharu yang pastinya akan bawa idea-idea baharu.
“Saya juga akan bertemu semua ketua-ketua cabang wanita baharu untuk pemilihan calon Ketua Wanita Negeri dan melaksanakan ‘retreat’ untuk merangka pelan jangka panjang,” katanya.
— BERNAMA