Home Seni Hidup Kami tak pernah lupa diri – Sofazr

Kami tak pernah lupa diri – Sofazr

Kumpulan Sofarz

KUALA LUMPUR – Kumpulan Sofarz berharap single terbaru Takkan Mungkin akan mengembalikan semula nama Sofazr di hati peminat seni negara ini.

Jurucakap dan anggota kumpulan Sofazr, Zarimi Zahari atau Zimi berkata, mereka kini semakin matang seiring dengan peningkatan usia dan mahu memberi fokus semula kepada karier nyanyian.

“Jika dulu kami sering bertengkar dan pernah mahu membubarkan kumpulan ini.

“Kini kami sudah matang sesuai dengan peningkatan usia serta mahu mengembalikan semula nama Sofazr dalam bidang muzik.

“Pada masa sama, kami juga percaya Sofazr masih relevan untuk terus bersaing dalam bidang muzik tanah air,” katanya.

Sofasr ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu iaitu Takkan Mungkin yang berlangsung di Red Box, Garden Mall di sini baru-baru ini.

Selain Zimi, Sofazr dianggotai Wan Shahbaharin Niktah (gitaris pertama, Wan Shah Baharom Niktah (One drum), Ahmad Fairouz Mohammad (bass), Amir Mahiyiddin (vokalis) dan Rodie Jamun (keyboard).

Zimi menambah, kumpulan yang popular dengan lagu Janjiku, Cintai Aku itu juga leka dengan populariti yang dikecapi ketika zaman kegemilangan dulu.

“Kami pernah mengalami kejutan budaya dan lupa diri ketika nama di puncak populariti dulu.

“Jadi kami tidak buat persediaan untuk bersaing dengan banyak band baru yang muncul sehingga nama Sofazr tenggelam dan dilupakan peminat,” katanya.

Sementara itu, sempena meraikan ulang tahun ke-15 penubuhan Sofazr, kumpulan yang kini bernaung di bawah label Seventeen Eleven ini bakal mengadakan Janjiku 15 Showcase yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 25 November ini, jam 3 petang.

Tiket berharga RM60 boleh didapati di Hard Rock Cafe.

Menerusi showcase itu, peminat akan dihiburkan dengan 15 seleksi lagu daripada Sofazr selain kemunculan dua penyanyi jemputan iaitu Treehill dan Amir Masdi. – MalaysiaGazette