KUALA LUMPUR – Sempena cuti persekolahan hujung minggu ini, ibu bapa atau penjaga disaran supaya menasihatkan anak-anak mereka menjauhi kawasan larangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ketua (Perhubungan Awam & Dalaman) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin menegaskan orang awam adalah dilarang berada di kawasan premis TNB di mana notis makluman potensi risiko kejutan elektrik dipasang.
“Jauhi dari menceroboh kawasan pencawang atau pepasangan TNB yang dipasang notis tersebut bagi mengelakkan risiko renjatan serta pancaran arka (flashover) dari arus bervoltan tinggi.
“Selain kecederaan serius dan kehilangan nyawa, ia juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan gangguan bekalan kepada pengguna,” jelas Mohd Aminuddin.
Bagi kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi, antara aktiviti yang tidak dibenarkan adalah bermain layang-layang dan permainan helikopter, drone atau kapal terbang kawalan jauh.
Membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian juga mengundang risiko yang sama, katanya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak masing-masing tidak menyentuh atau menghampiri kabel yang terputus akibat pokok tumbang, terutamanya ketika hujan bagi mengelakkan kemungkinan renjatan elektrik. – MalaysiaGazette