KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO (Pemuda UMNO) mendesak dan menggesa agar P. Waytha Moorthy meletakkan dan melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.
Ia susulan penularan video lama beliau selaku pemimpin utama pertubuhan radikal Hindraf yang memburuk-burukkan Malaysia kepada negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah.
Tindakan Waytha Moorthy itu menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum-kaum dan penganut agama lain, antaranya merobohkan kuil-kuil hindu dan menafikan hak asasi kaum lain di Malaysia.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sehingga kini beliau tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang dilakukan sebagaimana yang ditularkan melalui video berdurasi 2 minit 39 saat itu.
Lebih mendukacitakan sejak menjadi Menteri, beliau yang sepatutnya mempromosi perpaduan kaum dan pelbagai agama, lebih cenderung untuk membangkitkan isu-isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan di antara kaum.
“Terbaru inisiatif dan kesungguhan beliau untuk mengheret negara untuk meratifikasi dan mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya menzahirkan kesombongan dan keangkuhan beliau sungguhpun kerajaan bahawa majoriti rakyat melihatnya sebagai suatu yang mencabar hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang sememangnya isu yang amat sensitif.
“Justeru Pemuda UMNO mendesak P. Waytha Moorty untuk melepaskan dan meletakkan jawatan selaku Menteri secara terhormat dan bermaruah atas kegagalan menguruskan isu-isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak.
“Malah imej radikal beliau ketika memimpin Hindraf hanya akan mengundang krisis keyakinan rakyat akan masa depan keharmonian negara berbilang agama dan kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Asyraf menambah, Pemuda UMNO juga menggesa Waytha Moorthy menarik balik segala kenyataan fitnah dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas pengkhianatan beliau memburuk-burukkan negara di mata negara-negara luar. – MalaysiaGazette