SHAH ALAM – Pertelingkahan dalaman PKR tidak akan menganggu pemilihan parti itu jika lebih ramai yang memiliki sifat kesabaran, kata Naib Presiden Nurul izzah Anwar.
Mengakui pemilihan kali ini sukar sehingga ia menjejaskan PKR, Izzah mengucapkan penghargaan terhadap semua yang menjalankan tugas termasuk yang bertanding walaupun tidak mencapai kemenangan.
“Memandangkan pemilihan kita kali ini begitu sukar, kita kena berterima kasih yang tak menang, yang menang, yang menjalankan tugasan kerana kita bersama hari ini, ada yang tercalar teruk, ada yang berdarah, tak habis-habis berdarah sehingga ke saat ini.
“Kita mengharungi laluan sistem satu ahli satu undi secara teorinya kita mahu jadi parti demokrasi kalis masa depan yang mendepani cabaran namun ada juga tercalar.
“Dan Presiden asal (Wan Azizah Wan Ismail) 20 tahun ,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terima kasih kerana bersabar, kalaulah ramai orang mampu bersabar seperti ini mungkin kurang sedikit pertelingkahan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan Ke-13 2018.
Sebagai parti yang seringkali menggunakan perkataan ‘reformasi’ sebagai tonggak perjuangan, sepatutnya kata Izzah lagi semua anggota perlu berani menerima kelemahan dan kesilapan, bahkan sanggup meminta maaf.
“Kehebatan kita adalah apabila kita mampu akur dengan kesilapan kita dan mahu meminta maaf.
“Kita tidak perlu malu untuk mengaku banyak yang perlu ditambah baik, saya fikir itu yang kita kena belajar untuk memastikan sama ada kita adalah parti terulung atau parti yang senang dilupakan,” tambahnya. -MalaysiaGazette