Home Utama Menteri PKR jangan pula jadi punca kekalahan PRU15 – Rafizi

Menteri PKR jangan pula jadi punca kekalahan PRU15 – Rafizi

Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Rafizi Ramli hari ini menggunakan pentas Kongres Nasional Keadilan Ke-13 menyampaikan ucapan terakhirnya sebagai Naib Presiden dengan menyelar jemaah menteri yang mewakili parti itu dalam Kabinet.

Kata beliau menteri-menteri yang mewakili PKR perlu berani membuka mulut dalam mesyuarat Kabinet demi membangkitkan isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

“Pesanan saya kepada yang menang, yang jadi menteri, saudari jangan ke mesyuarat jadi menteri tapi tidak bercakap apa-apa, saudara-saudari kena bela rakyat…Saudara-saudari gaji puluhan ribu,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Tambahnya, wakil rakyat yang memegang jawatan sebagai Menteri selepas Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan akan menjadi dalang kepada kekalahan parti itu pada pilihan raya yang akan datang jika gagal bersuara dan menunaikan khidmat demi rakyat.

Malah, menurutnya, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal menjadi Presiden juga akan menanggung kesan terhadap persepsi daripada rakyat pada pilihan raya yang akan datang.

“Kalau tidak bela rakyat bebannya ditanggung oleh Anwar dan seluruh parti yang kena bertempur pada PRU15.

“Kalau gagal melaksanakan tugas sebagai menteri saudara-saudari akan membawa kekalahan kepada kita,” katanya lagi.

Rafizi dalam ucapan penggulungannya hari ini dilihat banyak kali menyebut nama Anwar yang bakal diumumkan sebagai Presiden PKR, menggantikan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu kerap menyentuh tentang kewajaran Anwar menjadi Perdana Menteri seterusnya menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette