KUALA LUMPUR – Di sebalik mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sederhana 4.4 peratus pada suku ketiga tahun ini, penganalisa dan pakar ekonomi terus yakin akan prospek masa depan Malaysia, menyatakan permintaan domestik dan sektor swasta akan menjadi pemacu utama untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, dalam kita bergerak seterusnya.
Pada 16 November, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan KDNK negara 4.4 peratus pada suku ketiga, dipacu oleh antaranya perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta yang tinggi.
Bank pusat berkenaan menyebut, untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, ekonomi berkembang 4.7 peratus dan dalam landasannya mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus untuk seluruh tahun 2018.
Menurut Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata kadar pertumbuhan suku ketiga KDNK berada di dalam jangkaan memandangkan perdagangan pada bulan Julai dan Ogos tidak begitu memberangsangkan.
“Pertumbuhan itu seharusnya dipacu oleh Indeks Harga Pengguna dan daripada apa yang kita lihat, data berkenaan baru sahaja dikeluarkan,” katanya kepada Bernama.
Katanya, ekonomi Malaysia pada masa ini dalam proses menyesuaikan diri dengan situasi ekonomi semasa dan MIER meramalkan KDNK 4.7 peratus untuk keseluruhan 2018.
“Untuk jangka sederhana dan panjang, sektor elektrik dan elektrikal mungkin melantun semula dan menyumbang kepada pertumbuhan negara.
“Asas masih lagi kukuh, tetapi kelemahan permintaan luaran mengehadkan prestasi pertumbuhan keseluruhan. Permintaan domestik masih akan memacu pertumbuhan untuk suku berikutnya,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Laurence Todd, memberitahu Bernama, pertumbuhan masa depan Malaysia adalah daripada inovasi dan keusahawanan yang diterajui oleh sektor swasta.
“Ini boleh dipermudahakan jika kerajaan menunaikan janji untuk mengurangkan peranannya dalam ekonomi dan pembaharuan pemerolehan untuk menjadikannya lebih kompetitif dan telus,” katanya.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, juga yakin bahawa sektor swasta akan terus memacu pertumbuhan ekonomi.
Katanya, perbelanjaan sektor swasta adalah teras utama pertumbuhan, khususnya, penggunaan swasta yang berkembang 9.0 peratus pada suku yang dinilai yang mana melebihi tahap 6.9 peratus.
“Kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan, sektor pekerjaan yang kukuh dan pertumbuhan pendapatan, selain sentimen pengguna yang positif, adalah faktor utama perbelanjaan pengguna yang tinggi pada suku ini.
“Begitu juga dengan pelaburan swasta yang melaporkan pertumbuhan yang baik 6.9 peratus kerana pengeluar aktif meningkatkan kapasiti pengeluaran terutama mereka yag terbabit dalam industri berorientasikan eksport,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, peningkatan itu juga membenarkan skala ekonomi untuk memenuhi permintaan yang tinggi sementara kadar pertukaran menjadi kompetitif yang menyokong orientasi eksport
Bagaimanapun katanya, perkembangan luaran seperti beberapa peningkatan kadar faedah di Amerika Syarikat, kesan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan Brexit United Kingdom terhadap pertumbuhan global berkemungkinan mempengaruhi keseluruhan sentimen perdagangan dan pasaran. – MalaysiaGazette