KUALA LUMPUR – Insiden Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri SA Vigneswaran melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata laporan polis sudah dibuat oleh pengurusan KLIA malam semalam dan kementerian akan menunggu laporan penuh daripada pihak berkenaan.
Jelas Anthony, pihaknya tidak akan memaksa Vigneswaran untuk memohon maaf walaupun itu adalah perkara yang sebetulnya untuk dilakukan terutamanya jika menjawat jawatan penting dan bergelar pemimpin.
Namun demikian, Vigneswaran bertegas tidak ada keperluan untuk beliau memohon maaf kerana dakwaan yang dibuat itu tidak betul dan berat sebelah.
“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak langgar undang-undang, ceroboh keselamatan dan sebagainya. Malah pandangan serta aduan saya terus di pandang sepi.
“Saya yang terlebih dahulu menulis surat aduan kepada pihak berwajib KLIA sebelum Menteri membuat sidang media kononnya mahu membuat pendedahan berhubung saya.
“Tetapi dengan media, boleh pula memberi kenyataan seolah-olah saya tidak mencerminkan akhlak yang baik. Ini tidak betul sebenarnya.
“Saya bukan bongkak sehingga menganggap perbuatan meminta maaf itu sesuatu yang merendahkan martabat, mengapa mohon maaf untuk sesuatu tidak betul? Itu sahaja,” tegas beliau kepada MalaysiaGazette.
Vigneswaran yang juga Presiden MIC didakwa melanggar undang-undang keselamatan, selain daripada tidak mengenakan pemakaian khas bagi menggunakan laluan VIP di KLIA pada malam 14 November lepas.
Beliau memakai selipar dan juga didakwa tidak mahu melakukan pemeriksaan keselamatan seperti yang termaktub dalam undang-undang.
Rata-rata pemimpin terutamanya dalam kalangan MIC sendiri melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan tersebut dan mula melancarkan ‘perang’ berhubung insiden tersebut sejak semalam mempertahankan pemimpin mereka.
Terbaru, Timbalan Ketua Wanita Kebangsaan, Vicneswari Babuji (gambar) membidas keperluan serta agenda tersembunyi memperbesarkan isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan lebih bermoral.
“Apakah sebenarnya keperluan untuk lakukan semua ini? Anda boleh bercakap dan selesaikan isu ini atau sekurang-kurangnya bukan dengar satu pihak sahaja kemudian melakukan sidang media.
“Adakah penting untuk Menteri menyelesaikan isu ini yang jelas sekali bukan satu krisis besar yang perlu diselesaikan dengan cara begini. Atau adakah ada agenda tertentu sehingga memerlukan ‘penangan’ sebegini hebat.
“Sebelum cari kesalahan, adalah lebih baik anda cermin diri dulu wahai Menteri. Jangan terlalu teruja untuk publisiti seperti ini,” tegasnya.
Semalam, penganalisis politik dan Ketua Pengarang portal The Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin turut mengkritik tindakan Anthony bercakap tentang protokol pemakaian serta undang-undang.
Kata beliau dalam laman sosial Twitternya, pemimpin dalam kalangan DAP sendiri satu ketika dahulu enggan mematuhi peraturan seumpama itu ketika menghadiri majlis di Istana.
“Anthony bercakap tentang peraturan yang telah gagal dipatuhi oleh Presiden MIC tetapi orang-orang sama ini dalam DAP juga yang enggan mematuhi protokol kod pakaian rasmi ketika masuk ke Istana. Cina mudah lupa,” kritiknya. –MalaysiaGazette