KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyelar tindakan Menteri Pendidikan yang suka membuat tuduhan melulu terhadap kerajaan Barisan Nasional tanpa melakukan siasatan terlebih dahulu.
Ia berdasarkan tuduhan Dr Maszlee Malik yang mendakwa dana sebanyak RM36 juta untuk 22 sekolah-sekolah Tamil pada tahun ini telah hilang di bawah Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, kebenaran muncul bahawa dana iniĀ telah diluluskan melalui surat.
Tetapi ia tidak sampai kepada sekolah kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meluluskan saluran dana itu selepas menang PRU14. (https://www.facebook.com/ybPKamalanathan/posts/2163290437048651)
“Maksudnya ialah jika ada salah laku, ianya salahlaku PH sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Najib berkata, di bawah pentadbirannya dari tahun 2009 hingga 2018, hampir RM900 juta diperuntukan untuk 524 sekolah yang disalurkan terus kepada akaun sekolah atau Lembaga Pengelola Sekolah untuk membaikpulih kemudahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
” SJKT tidak pernah diketepikan. Apabila dimaklumkan, Menteri Pendidikan terus senyap,” ujarnya.
Namun, kata Najib, Maszlee masih tidak berhenti dan menuduh wang untuk susu kanak-kanak di bawah Program Susu 1Malaysia (PS1M) juga telah hilang.
Tetapi, hasil siasatan menunjukkan semua susu yang patut dibekalkan untuk tahun 2017 telah berjaya dibekalkan kepada 7,000 sekolah. Begitu juga untuk tahun 2016. (http://m.utusan.com.my/pendidikan/susu-tidak-hilang-1.789471)
Tegas Najib, susu sekolah juga tidak hilang.
Cuma, malangnya, program susu ini tidak diteruskan untuk tahun ini selepas PH menang kerana dana peruntukan untuk tahun ini tidak diluluskan dan disalurkan oleh kerajaan PH sendiri.
“Sekali lagi didapati kerajaan PH sendiri yang salah tetapi Menteri Pendidikan mahu mempersalahkan saya dan kerajaan BN dahulu,” tambah Najib yang mempersoalkan sampai bila kerajaan mahu menyalahkan kerajaan dahulu sedangkan sudah enam bulan memerintah.
Najib berkata, kerajaan PH tidak perlu menabur fitnah seperti mana yang dilakukan semasa menjadi pembangkang dahulu kerana mereka sudah menjadi pemerintah.
“Sebelum memerintah, PH berulangkali melaungkan tohmahan liar dan jahat terhadap kerajaan BN.
“Walaupun sekarang mereka boleh merujuk kepada rekod rasmi negara selepas memerintah, mereka terus menabur fitnah.
“Adakah Menteri Pendidikan kita sekarang mahu mendidik anak-anak muda kita untuk berbohong dengn bersungguh-sungguh dan membuat tuduhan liar sebelum menyiasat?,” ujar Najib.
Jelasnya, ternyata perangai pembangkang PH tetap tidak berubah. – MalaysiaGazette