Home Nasional Semua cuci tangan isu Waytha

Semua cuci tangan isu Waytha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media pada sesi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 29 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan kontroversi video yang memburukan negara terus mencengkam  P Waytha Moorthy.

Walaupun kenyatan yang di buat oleh Waytha enam tahun lepas namun ianya disifatkan masih memberikan impak besar terutamanya pandangan antarabangsa terhadap Malaysia.

Namun, rata-rata kepimpinan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah ‘mencuci tangan’ berhubung isu dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kononnya Malaysia bermasalah dalam aspek hak asasi serta pencabulan kronik.

Malah ketika berbahas dan menjawab soalan lisan berhubung ICERD, rata-rata wakil pembangkang telah menuduh Menteri itu sebagai penipu dan tidak layak menjawab tentang isu tersebut, tetapi, tiada seorang dari PH bangun membantu Waytha.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa enggan memberi ulasan atau mahu membela tindakan Waytha sebaliknya hanya mengatakan pandangan itu bukan pendirian kerajaan.

“Itu pandangan peribadi beliau, saya tidak mahu beri komen kerana kini Waytha sudah ada dalam kerajaan. Seperti Menteri yang lain, beliau kini memperjuangkan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Kelmarin video lama Waytha menjadi viral dengan kenyataan beliau kononnya Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang besar termasuk mendiskriminasikan hak kaum India dalam pelbagai perkara termasuk hak beragama.

Waytha juga turut mendakwa Malaysia hanya sekadar indah khabar dari rupa kerana rata-rata menganggap Malaysia adalah negara Islam yang moden dan sederhana, tetapi realitinya adalah sebaliknya serta tidak benar.

Video yang di rakam enam tahun lepas di Belanda ketika wawancara Waytha berhubung keperluan Hindraf  sehingga berlaku perhimpunan serta demonstrasi besar-besaran pada 2007.

Dalam pada itu, diminta adakah perlu Waytha memohon maaf berhubung video itu yang kini menyebabkan ramai bangkit meluahkan rasa tidak puas hati selain desakan beliau meletak jawatan, Mujahid merasakan itu bukan satu keperluan.

“Itu atas kapasiti peribadi dan kenyataan yang dibuat pada masa lalu. Kenapa perlu kita terbeban dengan pandangan peribadinya,” ujarnya.

Semalam, Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengambil pendekatan mengunci mulut daripada memberi ulasan tentang kontroversi membabitkan ratifikasi ICERD.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, soalan berkenaan sepatutnya dijawab oleh Waytha kerana beliau yang ‘membangkitkan’ isu itu.

“Saya lebih minat tumpu perhatian kepada Kementerian Kewangan yang saya terajui kini,” katanya.–MalaysiaGazette