KUALA LUMPUR – CIMB Group mengumumkan perubahan dan pelantikan baharu dalam pengurusan tertingginya sebagai strategi jangka penjang untuk menjadikan francaisnya sebagai bank universal di ASEAN terus kekal kukuh.
Barisan pengurusan itu membabitkan bakat sedia ada dan baharu.
Menurutnya, Shahnaz Jammal yang kini merupakan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan akan memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong.
Khairulanwar Rifaie yang merupakan Ketua Pegawai Kewangan CIMB Malaysia dan CIMB Islamic akan mengambil tempat Shahnaz sebagai Ketua Pegawai Kewangan.
Manakala Effendi Shahrul Hamid akan memberi fokus kepada kerjasama pelbagai rakan digital dan ekosistem dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Group Ventures and Partnerhips, sebuah bahagian baharu.
Gurdip Singh pula dilantik sebagai Ketua Pegawai Kumpulan Strategi dan Rekaan dengan tanggungjawab tambahan dalam pengalaman pelanggan, perjalanan pelanggan, kemampanan dan penjenamaan.
Pelantikan itu berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.
Victor Lee Meng Teck, yang memiliki pengalaman luas selama 20 tahun dalam pelbagai firma kewangan global pula akan menyertai CIMB pada 17 Januari tahun depan, bakal memantau perniagaan transaksi perbankan dan perbankan komersial.
CIMB juga melantik Omar Siddiq sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan untuk menambah kekuatan bangku pengurusannya.
Berkuat kuasa 26 November 2018, Omar akan mengurus dan memberi pengawasan di bahagian kewangan, teknologi dan operasi kumpulan.
Sebelum ini, Omar adalah Ketua Perbankan Borong Kumpulan di sebuah kumpulan perbankan serantau dan pernah berkhidmat di Malaysia Airlines Berhad dan Khazanah Nasional Berhad.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata: “T18 telah mengukuhkan asas kami dan membantu menyelesaikan kedudukan kami di ASEAN.
“Melangkah ke hadapan, pelanggan akan kekal menjadi keutamaan CIMB ketika kami beralih, seiring dengan peningkatan pertumbuhan di semua perniagaan dan geografi”. – MalaysiaGazette