Home Nasional Kerajaan Selangor akur, papan tanda jalan tulisan Cina akan ditanggalkan

Kerajaan Selangor akur, papan tanda jalan tulisan Cina akan ditanggalkan

Sebahagian papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina akan digantikan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pekan Subang, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 NOVEMBER 2018

PETALING JAYA – Berikutan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina diturunkan, kerajaan negeri berjanji akan mengambil tindakan segera bagi mematuhi arahan tersebut.

Portal berita FMT melaporkan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah sebagai berkata, arahan menurunkan papan tanda jalan akan dikeluarkan dan penurunannya akan dibuat di kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya.

“Memang ada tindakan segera yang diambil untuk menurunkan papan tanda, khususnya di kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya. Kita merafak sembah titah yang dibuat Sultan Selangor,” katanya kepada FMT.

Semalam, Sultan Selangor mengarahkan semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Sultan Selangor titah turunkan papan tanda bahasa Cina

Arahan itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

“Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Dis ini,” demikian menurut beliau dalam surat.

Sebelum itu tular gambar-gambar di laman sosial yang menunjukkan papan tanda nama jalan yang menggunakan bahasa Cina selain bahasa Melayu.

Para netizen turut mengungkit tindakan pemimpin Pakatan Harapan semasa mereka menjadi pembangkang yang membantah penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda nama jalan. – MalaysiaGazette