Home Utama Utamakan penyertaan pelbagai pihak sebelum gubal perjanjian dan dasar – Sultan Nazrin

Utamakan penyertaan pelbagai pihak sebelum gubal perjanjian dan dasar – Sultan Nazrin

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu barisan kepemimpinan kerajaan mengutamakan penyertaan pelbagai pihak dalam proses menggubal sesuatu perjanjian mahupun dasar demi kepentingan rakyat sejagat.

Baginda bertitah, amalan Rasululullan SAW yang mengamalkan budaya syura untuk membolehkan pelbagai pandangan dan kelainan dapat disuarakan harus dijadikan contoh serta panduan.

“Amatlah penting diamalkan sifat inklusif, dipastikan adanya partisipasi yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, mewakili pelbagai konstituen, terutama ketika menangani isu-isu sensitif, isu-isu kontroversi dan isu-isu yang menyentuh pendirian yang bertentangan.

“Kerana itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengamalkan budaya syura, untuk membolehkan pelbagai pandangan dan kelainan pendapat disuarakan, dihujahkan dan kemudiannya diterokai titik pertemuan,” titah baginda lagi.

Intipati titah baginda itu disuarakan dalam ucapan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menemani baginda adalah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

MGF20112018_MAULIDUR RASUL 2018_06
Para peserta Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2018

Sultan Nazrin kini menjalankan tugas ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, beristirahat menjalani rawatan sejak 2 November depan.

Dalam titahnya itu, Sultan Nazrin juga mengingatkan bahawa pemimpin yang tidak menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan secara adil dan saksama akan mengakibatkan rakyat sengsara di masa akan datang.

Titah baginda, rakyat akan lebih sengsara apabila pemimpin sibuk mengumpul kekayaan masing-masing tanpa menghiraukan hak dan kepentingan rakyat.

“Pemimpin yang tidak berintegriti, akan mengakibatkan ummah berada dalam sengsara.

“Kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil dan melalui kaedah yang meragukan.

“Kekayaan material yang diperoleh secara mencurigakan akan melahirkan individu kaya secara mendadak (instant),” titah baginda.

MGF20112018_MAULIDUR RASUL 2018_09
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2018

Mengulas lanjut, Sultan Perak itu juga turut bertitah bahawa langkah mengumpul kekayaan sekrianya tidak dilengkapi kekayaan minda adalah satu ilusi dan mencermin budaya bermewah-mewah sahaja.

“Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, serta kadar pengangguran, kadar penghijrahan, kadar penyeludupan, kadar jenayah dan kadar rasuah yang tinggi, disusuli dengan pelbagai penyakit sosial.

“Akhirnya ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat, dan ummah bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan,” tegas Baginda.

Dalam pada itu, baginda juga menyebut bahawa kesejahteraan sesuatu bangsa, dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimpin.

“Jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawab lebih besar kepada Allah Maha Pencipta, akan sejahteralah hidup ummah akan makmurlah negara.

“Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama, dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan,” titah baginda lagi.
-MalaysiaGazette