Home Politik Kalau ada muafakat, mesti saya tahu – Tuan Ibrahim

Kalau ada muafakat, mesti saya tahu – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPURĀ – “Sebagai Timbalan Presiden Pas, kalau ada muafakat (bentuk kerajaan Melayu Islam) mesti saya tahu, tapi setakat ini memang tiada,” kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menegaskan, pada malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, pihaknya hanya berlapang dada dan tiada pula usaha menyatukan ahli-ahli Parlimen Melayu Islam untuk membentuk kerajaan.

“Semasa keputusan PRU-14, kita tiada maklumat tentang muafakat itu dan kita berbesar hati terhadap keputusan rakyat dan pada waktu itu kita hanya fokus bagaimana keputusan untuk melihat negeri-negeri lain.

“Sebagai timbalan presiden saya mengesahkan tiada muafakat pada waktu itu sebagaimana yang didakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Pada malam itu, kita hanya fokus kepada negeri-negeri yang kita menang dan kita raikan kemenangan di Kelantan dan Terengganu serta meningkat undi di Kedah, Pahang dan sebagainya.” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Perdana Menteri semalam tentang wujudnya usaha untuk menarik ahli-ahli Parlimen PH khususnya PKR beragama Islam dan Melayu untuk membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu.

Mahathir berkata, usaha itu untuk menghimpunkan wakil rakyat beragama Islam daripada UMNO, Pas dan PH supaya mereka mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan Melayu Islam.

Tuan Ibrahim berkata lagi, tiada keperluan pihaknya untuk memanggil semua ahli-ahli Parlimen Pas bagi menyiasat cubaan membeli wakil rakyat PH pada malam 9 Mei lalu.- MalaysiaGazette