Home Nasional Isu ICERD sengaja ditimbulkan pembangkang

Isu ICERD sengaja ditimbulkan pembangkang

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018

KUALA LUMPURĀ – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar melahirkan rasa kurang senang terhadap sikap pembangkang yang didakwa sengaja mewujudkan kemelut dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Nurul Izzah menegaskan, pendirian pimpinan tertinggi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menolak ratifikasi ICERD sepatutnya dapat menyelesaikan perbalahan itu dan tidak perlu disensasikan lagi.

“Sekarang ini, apa isunya lagi? Bila kita sudah lihat kesan dan sebagainya, kita memang kita ada keputusan tuntas.

“Sebelum ini pun, ada banyak ratifikasi yang tidak dilakukan sepenuhnya, ada pengecualian, lebih-lebih lagi boleh menyentuh ketuanan Melayu, Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, saya tak faham kenapa kemelut ini sengaja diwujudkan, saya hargai pandangan balas tapi marilah kita beralih kepada pendirian rasmi oleh wakil-wakil kerajaan.

“Pada saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semua menolak ratifikasi ICERD,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Nurul Izzah mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengancam menggerakkan demonstrasi besar-besaran di ibu negara sekiranya ICERD ditandatangani.

Abdul Hadi tidak menolak untuk mengerah berjuta rakyat ke jalan raya sekiranya Parlimen disalahgunakan untuk mengiktiraf agenda ICERD didakwa tidak adil terhadap Islam dan rakyat bumiputera.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat juga menetapkan 8 Disember ini untuk menganjurkan satu himpunan besar-besaran bagi membantah ICERD di Dataran Merdeka di sini.

Ia adalah susulan kejayaan penganjurnya, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengumpul lebih 30,000 umat Islam seluruh negara di Dataran Pekan Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak, Sabtu lalu.

Himpunan itu turut dihadiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi sendiri. – MalaysiaGazette