Home Nasional Kempen Belilah Barangan Malaysia tumpu stesen MRT, LRT

Kempen Belilah Barangan Malaysia tumpu stesen MRT, LRT

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hadir pada Majlis Pelancaran Kempen “Beli Barangan Malaysia” di Perhentian LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan berjanji akan memberi kerjasama penuh kepada Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) dalam usahanya memasarkan produk keluaran tempatan di seluruh negara.

Menterinya, Khalid Abd Samad berkata, beliau akan meminta jabatan dan agensi di bawah kementeriannya termasuk mendapatkan kerjasama dengan RapidKL untuk sama-sama membantu menjayakan kempen Belilah Barangan Malaysia (BBM) yang dicetuskan oleh GMB.

Kata beliau, modus operandi kepada kempen itu adalah untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di negara ini memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

MGF21112018_KEMPEN BELI BARANGAN MALAYSIA_07
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad melihat produk tempatan sambil diiringi Presiden GMB Malaysia, Agil Faisal Ahmad Fadzil (tiga kanan) pada Majlis Pelancaran Kempen “Beli Barangan Malaysia” di Perhentian LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 NOVEMBER 2018

“Saya difahamkan, selain Stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Aliran Transit Ringan (LRT), GMB turut memasarkan produk usahawan PKS ini di masjid, karnival jualan, festival fest dan sebagainya.

“Ini adalah antara kempen jangka panjang yang akan membentuk kesedaran mengenai perkhidmatan dan produk buatan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Belilah Barangan Malaysia di Stesen MRT Pasar Seni di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu, kempen selama dua tahun itu diharapkan dapat membantu menambah sumber pendapatan usahawan PKS, di samping memberi peluang kepada golongan itu untuk mempelbagai keluaran produk masing-masing.

Katanya, kempen Belilah Barangan Malaysia telah diperkenalkan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1985 serentak dengan keluaran kereta nasional pertama, Proton Saga. – MalaysiaGazette