Home Utama Kerajaan tumpu kes rasuah besar dahulu – Tun M

Kerajaan tumpu kes rasuah besar dahulu – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Anti Rasuah sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kanan) dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kasim Mohamed (kiri) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Pendakwaan yang melibatkan rasuah dan penyelewengan kerajaan Barisan Nasional (BN) tertumpu kepada kes-kes besar dahulu, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau menafikan tindakan yang diambil terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan sebelum ini bukan atas faktor parti sebaliknya jenayah yang dilakukan.

“Yang besar-besar ini kebanyakannya melibatkan UMNO, sebab itu kita ambil tindakan terhadap orang ini.

“Bukan kerana dia UMNO, kerana dia lakukan jenayah,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Anti Rasuah dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) petang tadi.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya sebab pemimpin UMNO yang kini sedang disiasat dan dalam proses pendakwaan mahkamah berhubung rasuah dan salah laku berbanding parti-parti lain seperti Gerakan dan MIC.

Menurut Perdana Menteri, beribu-ribu kes melibatkan pemerintahan kerajaan terdahulu dan kerajaan tidak mampu membuat pendakwaan sekaligus.

“Kita mempunyai beribu kes hasil daripada pemerintahan Datuk Seri Najib (Razak). Kita tidak boleh buat 1,000 kes dalam satu hari kita tumpu kepada yang besar-besar sahaja,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa hanya pemimpin dalam kalangan UMNO sahaja yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun pemimpin dari parti komponen BN lain seperti MIC dan MCA terlepas.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan penganugerahan lapan daripada 10 tender secara langsung daripada semua kementerian menerusi anak menteri Pakatan Harapan.

“SPRM sedang melakukan siasatan,” katanya.-MalaysiaGazette