Home Nasional Penyediaan kertas putih mengenai Felda kini di fasa akhir – Azmin

Penyediaan kertas putih mengenai Felda kini di fasa akhir – Azmin

Gambar hiasan.

KUALA LUMPURĀ – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan kertas putih mengenai Felda akan dibentangkan ke Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat sesi ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun ia perlu melalui proses audit untuk mengetahui kedudukan sebenar kewangan Felda sebelum dibentangkan ke Parlimen.

“Kita sedang dalam fasa terakhir dan akan dibentangkan pada sesi ini juga. Kita kena buat external audit untuk memastikan kita dapat gambaran sebenar tentang kedudukan kewangan Felda.

“(Oleh kerana) pengurusan Felda tidak telus (maka) peneroka Felda perlu memahami kedudukan kewangan hari ini dan apakah langkah yang akan diambil kerajaan untuk menjamin masa depan peneroka Felda,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin memberi jaminan kerajaan akan membentangkan kertas putih pada persidangan Parlimen hujung tahun ini untuk mendedahkan keadaan sebenar Felda serta rancangan strategik pemulihannya.

Beliau dilaporkan berkata, kedudukan kewangan Felda sekarang merupakan legasi kepimpinan terdahulu yang lemah dalam tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Felda sedang menghadapi masalah aliran tunai yang amat kritikal.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gombak itu juga mengakui keadaan kewangan Felda kini amat serius dan ada sesetengah kes pula sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya sudah lihat laporan interim Felda tapi menteri (kewanagan) mahu lihat lebih kepada butiran lengkap.

“Ada hartanah dibeli pada premium yang tinggi dan bukan dalam harga pasaran malah lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Walaupun dia mahu monitize aset itu, kita tidak mungkin dapat balik nilai sepenuhnya aset tersebut.

“Izinkan kami bentangkan kertas putih dan kemudian kita akan buat beberapa cadangan bagaimana yang teruskan ke depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette