KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengulangi keputusannya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.
Menjawab kenyataan Pengasas Muafakat Anak Muda Port Dickson (PD), Megat Muhammad Faris, katanya, beliau telah nyatakan secara terbuka hasratnya untuk tidak memegang apa-apa jawatan awam sejak 2016 lagi.
“Saya telah menghabiskan usia 30-an saya hampir sedekad berkempen untuk menjatuhkan pentadbiran Barisan Nasional (BN). Keluar masuk lokap, turun naik mahkamah dan ceramah yang tidak berkesudahan selama hampir 10 tahun membongkarkan segala salah laku penguasa pada ketika itu.
“Memang hasrat saya untuk menghabiskan masa dua tahun ini untuk keluarga, serta berlaku adil kepada 80 kakitangan saya yang meletakkan jawatan dari kerjaya mereka untuk membantu Pakatan Harapan (PH) mengalahkan BN.
Oleh itu, Adik (panggilan kepada Megat) jangan bimbang saya memang tidak berminat untuk bertanding di (DUN) Rantau atau mana-mana kerusi. Kalau saya diberi hadiah RM50 juta pun, saya tidak berminat,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Beliau menjawab kenyataan Megat semalam, yang dilaporkan berkata, NGO itu menolak sekiranya Rafizi dipilih sebagai calon bagi PRK DUN Rantau.
Dalam kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar itu, Megat berkata, adalah menjadi satu penghinaan terhadap anak jati Negeri Sembilan sekiranya calon luar dipilih bertanding untuk PRK DUN Rantau.
Mengulas lanjut, Rafizi yang membahasakan Megat dengan panggilan “Adik Megat Muhamad Faris yang comel dan tembam” menjelaskan, beliau juga telah mennyatakan calon terbaik pada pandangannya ialah Dr Streram yang bertungkus lumus berkempen sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Katanya, Dr Streram juga yang dinafikan hak untuk bertanding di situ, malah berikhtiar mencabar kes berkenaan di mahkamah sehingga satu PRK diarahkan.
“Saya tidak tahu asal usul adik atau parti mana datangnya adik ini. Saya hanya tertarik dengan tengkolok yang adik pakai, sangat sesuai pada diri adik yang comel dan tembam ini.
“Saya nasihatkan adik tidak perlulah bimbang banyak sangat mengenai siapa yang akan bertanding di Rantau. Kerusi itu telah ditandingi oleh PKR sejak dari dahulu lagi dan Insha-Allah, pimpinan PKR akan membuat keputusan yang terbaik mengenai calon Rantau,” katanya berseloroh. – MalaysiaGazette