KUALA LUMPUR – Keberanian yang luar biasa!
Itu ucapan terbaik untuk sekumpulan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka dalam usaha menumpaskan enam penjenayah di sebuah pasar raya di Kuchai Lama di sini hari ini.
Pasukan itu bukan saja berjaya mengelakkan insiden berbalas tembak itu daripada mengenai ratusan pengunjung di pasar raya berkenaan, malah mereka juga telah mengejar salah seorang suspek yang cuba melarikan diri dengan sebuah kereta sebelum berjaya menembak penjenayah tersebut kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.
Walaupun salah seorang anggota D9 yang terlibat cedera akibat ditembak di bahagian lututnya, dia yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) difahamkan berada dalam keadaan stabil.
MalaysiaGazette berjaya memperoleh foto anggota berkenaan yang kini difahamkan bakal dibedah pada bila-bila masa dari sekarang.
Kami juga difahamkan anggota tersebut berpangkat Koperal dan berusia dalam lingkungan 30an.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor yang diketuai SAC Fadzil Ahmat juga sebelum ini mendapat pujian banyak pihak apabila berjaya menembak mati dua penjenayah di pusat membeli belah Atrium Mall, Petaling Jaya pada Mei lalu dengan tanpa sebarang kecederaan di pihak orang awam.
Dalam kejadian petang tadi, lima daripada enam penjenayah bersenjatakan kapak, parang dan pistol yang menyamun kedai emas di pasar raya berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata seorang lagi penjenayah berjaya diberkas.
Katanya enam lelaki warga tempatan tersebut sebelum itu meluru masuk ke pasar raya berkenaan sebelum menyamun kedai emas di situ dalam kejadian kira-kira 4.30 petang.
Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata sebaik keluar, suspek bertembung dengan sepasukan anggota polis yang datang selepas menerima maklumat awam mengenai kehadiran beberapa individu mencurigakan yang memakai topi keledar di dalam kereta di kawasan pasar raya.
MalaysiaGazette difahamkan yang gerakan besar-besaran sedang dilancarkan untuk memburu lebih ramai suspek yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah yang ditumpaskan itu. – MalaysiaGazette
Lima penjenayah samun kedai emas maut ditembak, seorang anggota polis cedera