KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yakin barisan peguam belanya akan berjaya mempertahankan dirinya dalam semua pertuduhan yang dihadapi beliau.
Malah, beliau menyifatkan 38 pertuduhan yang dikemukakan kepadanya adalah tidak munasabah namun itu terpulang kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mendakwa beliau.
“Mungkin saya boleh simpulkan bahawa berani kerana benar. Maknanya saya yakin atas kebenaran saya dan akan saya buktikan di mahkamah nanti dengan kenyataan apabila sampai masanya.
“Pihak peguam saya pun yakin kita boleh berjaya dan bersihkan nama saya,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Datuk Seri Najib Razak secara langsung di Sinar Harian, hari ini.
Najib turut menggesa agar setiap perbicaraan ke atas dirinya dibuat secara adil dan saksama sebagaimana yang diuar-uarkan oleh PH sebelum ini.
“Saya minta supaya berlaku adil, maknanya saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang dapat hak pembelaan dalam mahkamah yang adil. Proses penghakiman termasuk hakim sendiri adalah dalam lingkungan prinsip adil.
“Salah satu daripada tiang utama adalah sistem penghakiman yang adil ialah seseorang itu tidak bersalah sehingga terbukti kesalahannya,” katanya lagi.
Pada 4 Julai lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada kegiatan haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.
Pada 20 September, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM. – MalaysiaGazette