Home Ekonomi Bursa ditutup tinggi

Bursa ditutup tinggi

Harga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan kenaikan dalam saham mewah dan berwajaran tinggi terpilih, didahului Sime Darby dan Genting Bhd.

Semasa penutup, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.25 mata untuk ditutup pada 1,695.62 daripada 1,695.37 ketika ditutup pada Rabu.

Selepas dibuka 0.78 mata lebih rendah kepada 1,694.59 pagi ini, indeks penanda aras itu bergerak antara 1,689.03 dan 1,701.74 sepanjang hari.

Peniaga berkata prestasi meningkat di pasaran saham tempatan juga seiring dengan kebanyakan bursa serantau, dengan Indeks Straits Times Singapura bertambah 3.59 mata atau 0.12 peratus kepada 3,042.24, Nikkei Jepun melonjak 139.01 mata atau 0.65 peratus kepada 21,646.55 dan Hang Seng Hong Kong menokok 47.94 mata atau 0.18 peratus kepada 26,019.41.

Bagaimanapun, keputusan prestasi kewangan korporat terkini yang rendah juga mendorong jualan di kaunter terpilih selain mengekang kenaikan, katanya.

Peniaga berkata, penurunan harga minyak mentah, dengan harga penanda aras global, minyak mentah Brent susut kepada AS$62.70 setong manakala minyak mentah West Texas Intermediate jatuh kepada AS$53.71 setong, sekali gus menyebabkan kaunter berkaitan tenaga mengalami tekanan.

Antara saham minyak dan gas berwajaran tinggi, Petronas Dagangan merosot enam sen kepada RM26.84, Dialog berkurangan dua sen kepada RM3.16 dan Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM9.24.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing turun satu sen kepada RM9.39 dan RM5.65, Public Bank dan TNB masing-masing berkurangan dua sen kepada RM24.80 dan RM14.78.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut 1.5 sen kepada 36 sen, TATT Giap naik satu sen kepada 25 sen dan Berjaya Land bertambah 2.5 sen kepada 22 sen.

Bagaimanapun, lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi saham untung sebanyak 484 berbanding 310, manakala 386 kaunter tidak berubah, 727 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.75 bilion unit bernilai RM1.44 bilion daripada 2.04 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Rabu.

Indeks FBM Emas turun 20.46 mata kepada 11,796.16, Indeks FBMT 100 susut 17.04 mata kepada 11,639.242 dan FBM 70 kurang 92.95 mata kepada 13,930.34.

Indeks FBM Emas Syariah turun 26.89 mata kepada 11,856.76 namun Indeks FBM Ace meningkat 33.39 mata kepada 5,033.32.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 12.85 mata kepada 17,292.46, Indeks Barang dan Perkhidmatan Perindustrian adalah 0.10 mata lebih rendah kepada 172.97 dan Indeks Perladangan turun 15.14 mata kepada 7,176.84.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.15 bilion saham bernilai RM1.30 bilion daripada 1.29 bilion saham bernilai RM1.74 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 334.03 juta unit bernilai RM83.11 juta daripada 492.69 juta unit bernilai RM130.06 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 266.43 juta saham bernilai RM57.56 juta daripada 262.21 juta saham bernilai RM67.21 juta semalam.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 231.81 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (228.88 juta), pembinaan (174.30 juta), teknologi (172.65 juta), SPAC (345,000), perkhidmatan kewangan (24.49 juta), hartanah (64.46 juta), perladangan (15.83 juta), REIT (8.68 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (132.27 juta), penjagaan kesihatan (21.87 juta), telekomunikasi dan media (25.65 juta), pengangkutan dan logsitik (31.15 juta) dan utiliti (19.06 juta). – MalaysiaGazette

+ posts