Home Utama ICERD bawa agenda Freemason

ICERD bawa agenda Freemason

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap pada Ceramah Umum Bersama Calon PAS sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Koboi Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 30 SEPTEMBER 2018.
Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – Umat Islam wajib menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia membawa agenda Freemason.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ICERD yang cuba dibawa pemimpin Hindraf didakwa bertujuan untuk merosakkan agama, bangsa dan negara.
“Mengiktiraf ICERD laksana menebuk lubang dinding rumah kita bagi memberi laluan kepada nyamuk aedes masuk ke dalam rumah tanpa menyedari bahayanya boleh membawa maut.
“Ini bukan sekadar menyelamatkan rumah kecil, tetapi menyelamatkan kedaulatan umat dan negara.
“Anggaplah mereka yang membawa dan memperjuangkannya adalah petualang yang wajib disanggah dan ditentang.
“Umat Islam, umat beragama, kaum Bumiputera dan semua bangsa hendaklah bersatu menentang agenda ICERD, kerana konsepnya yang sebenar tidak beragama dan berkemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Hadi selaku Ahli Parlimen Marang juga berkata, umat Islam diingatkan tidak terpengaruh dengan negara Barat yang sudah meninggalkan agama dan etika kemanusiaan sebenar.
“Kita wajib menolak dan mengharamkan ICERD selama-lamanya, kerana kita mempunyai takrif yang merdeka daripada pengaruh penjajah dan jahiliah khususnya terhadap perkataan diskriminasi, hak, keadilan dan kebenaran.
“Amerika Syarikat, dianggap negara contoh dalam kalangan pejuang konsep tersebut (diskriminasi, hak dan keadilan).
“Kini mereka meletakkan penduduk asal atau ‘Red Indian’ hingga dilupakan, dibiar hidup terpinggir daripada pembangunan serta dibiar di tepi jalanan,” katanya.
Katanya lagi, apa yang tercatat dalam Perlembagaan khususnya mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan tidak melampau seperti teori Barat.
“Ketetapan ini tidaklah tersasul seperti teori Barat yang dibanggakan oleh pengikutnya sehingga memelihara hak asasi binatang dengan melupakan hak asasi manusia,” katanya.
Beliau turut berkata, peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah memenuhi keperluan masyarakat majmuk di negara ini malah lebih baik daripada ICERD.
“Kita sudah merasai betapa keamanan telah wujud di negara ini, tanpa peduli terhadap perakus yang sentiasa mahu memuaskan hawa nafsunya sahaja sehingga mengganas dengan sifat fanatik melampau.
“Apa yang berlaku adanya kelemahan dalam aspek pelaksanaan, boleh diselesaikan dengan cara kita tersendiri, yang tidak memerlukan kita mengubah perkara dasar.
“Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan dan hak beragama lain telah menjadi kontrak sosial yang sudah mencukupi mengikut nalurinya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette