Home Nasional Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan buat keputusan papan tanda bahasa Cina

Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan buat keputusan papan tanda bahasa Cina

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 -
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 - "Perumahan Mampu Milik: Satu Keluarga Satu kediaman” di di Glenmarie Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2018.

KUALA  LUMPUR – Menteri Besar Amirudin Shari menegaskan keputusan pemasangan papan tanda jalan dalam bahasa Mandarin diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.

Beliau berkata, ini kerana keputusan itu diputuskan di peringkat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan tahun lalu dan bukannya oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Apa yang saya nyatakan adalah keputusan untuk memasang papan tanda tersebut diputuskan pada 2017 di peringkat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan.

“Keputusan tersebut juga tidak pernah dibangkitkan di dalam MMKN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua papan tanda yang mempunyai tulisan Bahasa Mandarin di Shah Alam ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa iaitu Bahasa Melayu.

Titah itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Baginda menitahkan penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 tuanku iaitu pada 11 Disember ini.

Amirudin juga berkata, beliau sudah mengarahkan Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor untuk mengkaji semula keputusan papan tanda tersebut.

“Saya telah mengarahkan pengerusinya, Ng Sze Han untuk mengkaji dasar tersebut agar tidak menimbulkan polemik yang tidak perlu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette