KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara sinis menyindir Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berhubung kenyataan beliau bahawa Transit Aliran Massa (MRT) ini tidak ada pemandu.
Dalam status terbaharu Facebook, Najib turut mengucapkan ‘selamat datang’ kepada Ahli Parlimen Shah Alam itu.
“Maaf saya tidak pasti YB tinggal di mana sebelum ini,” jelas Najib lagi.
Najib mengulas mengenai berita MalaysiaGazette yang melaporkan Khalid memuji sistem pengangkutan awam MRT yang baginya setanding dengan negara maju dunia.
Lantas, Najib turut memperincikan kepada kepada Khalid bahawa projek MRT dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan kos RM21 bilion dan penjimatan sebanyak RM2 bilion.
“MRT Sg Buloh-Kajang ini tak besar impaknya. Cuma hasilkan 130,000 pekerjaan. Ia juga diusahakan oleh anak-anak Malaysia.
“Ada graduan dari institusi tempatan dan ramai juga anak-anak kita dari luar negara kembali ke tanah air untuk menjayakan projek ini.
“Tak ramai juga yang gunakan MRT ni. Kira-kira beberapa juta orang sahaja jadi tahniah YB Menteri antara orang-orang pertama yang menjejak kaki di sistem pengangkutan awam moden kita,” jelas Najib.
Tambah Najib, kerajaan BN ketika itu dalam perancangan mahu membina 2 lagi MRT iaitu MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan MRT3 Circle Line.
Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertindakan membatalkan projek MRT3 pada Jun lalu.
Projek itu dianggarkan menelan kos sebanyak RM40 bilion sehingga RM50 bilion. -MalaysiaGazette