KUALA LUMPUR – Perhimpunan besar-besaran pembangkang bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur 8 Disember ini terus menjadi perdebatan.
Malah perhimpunan itu menjadi topik perbahasan oleh segelintir wakil rakyat kerajaan yang ternyata tidak senang dengan perhimpunan itu anjuran UMNO dan Pasitu.
Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer berkata, ada segelintir pihak cuba sedaya untuk memecah belahkan kaum melalui perhimpunan dan kenyataan berbaur perkauman.
“Sejak akhir-akhir ini terlalu ramai pemimpin politik terutamanya yang di sebelah sana (pembangkang) yang sengaja menganjurkan perhimpunan besar-besaran selain mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
“Ini sebenarnya tidak elok. Mereka cuba ganggu gugat ketenteramaan dan keharmonian Kalau saya bercakap tentang perkara ini, nanti mereka tersinggung pula. Kenyataan-kenyataan daripada mereka ini juga tidak membantu agenda integrasi nasional.
“Kita perlu matang berpolitik. Jika mahu berdebat atau tidak bersetuju dengan sesuatu gunakan medan yang betul seperti Parlimen. Tidak perlu adakan perhimpunan untuk pecah belahkan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 sebentar tadi.
Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas kembali oleh wakil pembangkang khasnya UMNO dengan bertanyakan bagaimana pula anjuran demonstrasi BERSIH sebanyak lima kali sebelum kejatuhan BN pada PRU lepas.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar bertanya, siapakah pemimpin-pemimpin yang di sebut-sebut oleh Rayer sehingga memecah belahkan kaum di negara ini.
“Yang saya maksudkan itu adalah Yang Berhormat Pasir Salak, Bera, Bagan Datoh,” kata Rayer.
“Apa yang telah saya cakap sampai pecah belahkan kaum? Apa, buktikan,” soal Tajuddin.
Ahli Parlimen Lipis (BN), Datuk Abdul Rahman Mohamad bangkit dan bertanya bagaimana pula dengan setiap demonstrasi yang di anjurkan oleh pembangkang yang kini sudah menjadi kerajaan terutamanya BERSIH sebanyak lima kali sebelum ini.
Rayer kemudian menyatakan Tajuddin telah berkali-kali mengatakan akan mengadakan perhimpunan di luar Parlimen dengan mengatakan kerajaan kini menidakkan hak orang Melayu yang sebenarnya tidak benar.
“Kelmarin di dewan yang mulia ini, Yang Berhormat Pasir Salak telah mengugut Menteri yang menyokong ratifikasi ICERD. Anda menyatakan jika Menteri tersebut menyokong maka orang Melayu akan menyerangnya. Itu ugutan,” tegas Rayer.
Bagaimanapun Tajuddin bertegas itu bukan satu tindakan rasis atau ugutan sebaliknya realiti.
“Saya akan ulangi, itu adalah kenyataan dari saya dan ianya betul. Tidak rasis atau perlu diperbetulkan. Bukan saya sahaja membantah ICERD tetapi berjuta orang termasuk di luar negara,” tegasnya.
Beberapa wakil UMNO kemudian bangkit melahirkan rasa tidak puas hati mereka terutamanya dengan sikap Ahli Parlimen dalam kalangan kerajaan yang hanya mendiamkan diri berhubung ICERD. –MalaysiaGazette