![MGF22112018_WAWANCARA EKSKLUSIF NAJIB RAZAK04 Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bercakap pada Wawancara Eksklusif Bersama Najib Razak anjuran Sinar Harian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2018](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2018/11/MGF22112018_WAWANCARA-EKSKLUSIF-NAJIB-RAZAK04-640x427.jpg)
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hari ini mengkritik kerajaan Pakatan Harapan yang hanya tahu mengecam kerajaan dahulu tetapi tidak pula melakukan pembaharuan selepas memerintah negara.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa kerajaan sekarang tidak mempunyai visi yang jelas selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 9 Mei lalu.
Menurutnya, ramai rakyat yang ditemui turut mengetengahkan persoalan sama kepada beliau.
Ini menunjukkan kerajaan PH yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum dapat meyakinkan rakyat tentang visi dan matlamat utama mereka menerajui negara.
“Rata-rata mereka buat satu persoalan kepada saya, mereka kata mereka tidak nampak visi baru kerajaan ini.
“Apa visi sebenarnya? Kalau kata Malaysia Baharu, kita tidak boleh menilai pencapaian sesuatu kerajaan berdasarkan kepada slogan, mesti ada sesuatu visi yang jelas, lepas itu kita mesti ada dasar induk dan bila ada dasar itu kita mesti ada pelan pelaksanaan,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Datuk Seri Najib Razak secara langsung di Sinar Harian, hari ini.
Najib diwawancara oleh Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali.
Tambah Najib, ketika memegang tampuk pemerintahan negara pada 2009, beliau pantas menggerakkan visinya dengan memperkenalkan beberapa dasar kerajaan, antaranya Pelan Transformasi Ekonomi dan Kerajaan.
Namum sepanjang enam bulan memerintah Putrajaya, beliau mendapati PH tidak mempunyai visi yang jelas.
Sebaliknya, kepimpinan Dr Mahathir acapkali menuding jari kepada pemerintahan BN atas semua tindakannya sebelum ini.
“Sekarang ini mereka sudah dapat mandat dan tadbirlah negara ini dengan sebaik mungkin.
“Jangan toleh kebelakang menyalahkan kerajaan BN tetapi tidak melakukan sesuatu pembaharuan kepada negara kita.
“Apa yang sepatutnya dilakukan ialah ada kesinambungan dan bila sebuah kerajaan sudah diganti dengan kerajaan baharu, apa yang berlaku itu diganti dengan menyambungkan yang baik dan mungkin tidak baik, kita boleh kaji semula tetapi pokoknya kita mesti bawa negara kita ketahap yang lebih tinggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette