Home Politik UMNO jadilah pembangkang yang kuat, nasihat Najib

UMNO jadilah pembangkang yang kuat, nasihat Najib

KUALA LUMPUR – UMNO dinasihatkan supaya menjadi pembangkang yang kuat dan tidak bertindak semborono.

Datuk Seri Najib Razak berkata, parti tunjang bangsa Melayu itu tidak harus mengalah dan perlu memainkan peranannya sebagai pembangkang yang kuat sebagai pihak semak dan imbang kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“UMNO mesti jadi berani untuk jadi pembangkang tetapi bukan pembangkang yang hemtam semberono, mesti dengan fakta dan cara sendiri.

“Kita kena memperjuangkan kepentingan rakyat dan mesti jadi permudah cara suara rakyat,” kata bekas Presiden UMNO.

UMNO pertama kali menjadi pembangkang di Dewan Rakyat selepas Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan rakyat di negara ini tidak seharusnya lupa jasa UMNO sebelum ini.

Malah, golongan muda juga diingatkan tidak terus menolak parti keramat orang Melayu walaupun tidak suka kepada pemimpin yang menerajuinya.

“Tidak dapat dinafikan walaupun ada yang tidak suka kepada UMNO, pemimpinnya tapi jasa parti ini besar kepada negara.

“Kita mesti lihat masa depan, khususnya golongan muda tidak akan melihat dari segi sejarah sahaja, tetapi mahu melihat UMNO di masa akan datang,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, Najib berkata, tugas utama parti itu kini adalah memperkukuhkan semula safnya dan membina semula parti.

“UMNO kini menghadapi ujian yang paling getir dan kita terima ada ahli UMNO yang tinggalkan kita dan kita cuba untuk bina balik dengan pemimpin sedia ada.

“Kita mesti berjaya tarik bakat-bakat baharu dalam UMNO, salah satu kelemahan kita adalah menyekat bakat baru dalam UMNO.

“Bukalah pintu kita dan terima mereka dan bina semula bahtera kita,” nasihat Najib sambil mengulangi pendiriannya sama sekali tidak akan meninggalkan UMNO.

Malah, tekadnya mahu membantu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamdi.

“Saya harap tiada ada siapa khuatir dengan apa yang saya lakukan dan bukan ancaman kepada sesiapa, saya cuma nak tawarkan diri dengan pengalaman saya.

“Saya akan bantu menguatkan UMNO dan saya tidak boleh lakukan perkara ini berseorangan, perlu bantuan rakan untuk sama membantu,” katanya. – MalaysiaGazette