KUALA LUMPUR – Presiden PKR mengingatkan semua ahli-ahli parti untuk membuat bantahan mahu pun cadangan menerusi saluran yang betul dalam isu pemilihan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau.
Beliau berkata, parti mempunyai peringkat dan saluran yang tertentu untuk mendengar semua pandangan ahli-ahli terutama di Rantau dan Negeri Sembilan.
“Cabang ada bagi cadangan, ikut saluranlah saya dah bagi peringatan supaya ikut saluran cabangan boleh bagi pandangan, negeri boleh, biro politik boleh bagi pandangan dan kita putuskanlah (nanti),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis Syarahan Za’ba Penajian Melayu 2018 hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu terdahulu diminta mengulas mengenai gesaan yang dibuat oleh Cabang PKR Rembau agar kepimpinan tidak meletakkan S. Streram sekali lagi bertanding PRK DUN Rantau.
Terdahulu, Streram menyatakan hasratnya untuk diletakkan sekali lagi bertanding melawan Timbalan UMNO, Datuk Mohamad Hasan bertanding di kerusi itu setelah kemenangannya pada pilihan raya yang lalu dibatalkan oleh mahkamah.
Namun Anwar pada Kongres Nasional PKR baru-baru ini memaklumkan bahawa nama Rafizi Ramli ada dibangkitkan bagi dijadikan calon namun keputusan belum dimuktamadkan.
Dalam pada itu, Anwar menerima secara terbuka penjelasan yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang juga Pengerusi PKR Sarawak kerana gagal menghadiri kongres parti itu pada 17 hingga 19 November yang lalu.
Beliau dalam masa yang sama menasihatkan Baru agar tidak mengulangi lagi kesilapannya itu pada masa akan datang.
“Saya terima dan sudah tentu saya nasihatkan untuk masa akan datang pastikan utamakan yang perlu, kita move on. Dia (Baru) sudah perjelaskan dengan teliti,” ujarnya. -MalaysiaGazette