Kerajaan Tolak ICERD | Edisi MG 23 NOVEMBER 2018

Melalui kenyataan akhbar untuk siaran segera, Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi adalah tindakan susulan selepas semua laporan media sebelum ini yang melaporkan isu ICERD itu mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat termasuk menteri, anggota Parlimen, badan bukan kerajaan dan orang ramai.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata adalah agak mustahil untuk kerajaan meratifikasi ICERD dan Kerajaan Pakatan Harapan ketika ini tidak mempunyai majoriti dua per tiga di Parlimen, tambahan pula ada anggota Parlimen PH sendiri yang tidak bersetuju kerajaan meratifikasi konvensyen tersebut.