KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap sikap bisu golongan sarjana dan penjawat awam menjadi punca rasuah dan ketirisan yang semakin membimbangkan di negara ini.
Tambahnya, tindakan membisu golongan itu terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah bukti mereka ‘bersubahat’ dengan perbuatan rasuah yang dilakukan pemimpin terdahulu.
“Politik negara bertapa ngeri dan dasyatnya, kalau dilihat skandal 1MDB, saya di Singapura minggu lalu hadir sidang bloomberg, International Monetary Fund (IMF) dan ada juga ketua Goldman Sachs, saya sebut bahawa boleh berlakunya kebobrokan, kemusnahan sistem, rompakan begitu besar bukan semata-mata kerana nafsu serakah beberapa pemimpin politik tetapi kerana golongan sarjana yang membisu yang sanggup menjadikan diri mereka perkakasan murahan atas nama kaum atau agama.
“Serban mungkin besar, jangut mungkin panjang , ijazah mungkin berjela tetapi tidak ada hati nurani. Bukan sahaja pemimpin politik, sarjana, penjawat awam bukan sekadar membisu tapi sanggup bersekongkol mempertahan kedurjanaan yang menimpa bangsa, rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap majlis syarahan Za’ba 2018 di Universiti Malaya (UM), hari ini bertajuk Melayu Islam dalam era Malaysia Baharu hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar mendakwa kumpulan tertentu yang memperjuangkan hukum hudud selama ini namun gagal menentang gejala rasuah.
“Bicara soal Islam, rompakan puluhan bilion tak nampak, mereka hanya nampak hanya satu aspek perundangan atau hudud yang mengatasi semua permasalahan lain walaupun kupasan itu disangah termasuk oleh Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan bahawa umat Islam harus lebih meyeluruh bukan hanya menghukum,” tambahnya yang merujuk kepada pimpinan Pas.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam menerusi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian berkata kerajaan Barisan Nasional ditipu oleh ahli perniagaan Low Taek Jho yang didakwa merupakan perancang skandal 1MDB.
Justeru Najib juga bersetuju supaya tindakan diambil ke atas Jho Low.- MalaysiaGazette