Home Utama Tak semua kenyataan menteri PH matang – Anwar

Tak semua kenyataan menteri PH matang – Anwar

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani "Plak Perasmian Perpustakaan dan Muzium Entografi Melayu" pada Syarahan Za'ba Pengajian Melayu 2018 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu sahaja berusia  enam bulan dan ada menteri-menterinya masih memberi kenyataan yang bersifat tidak matang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata demikian ketika memperincikan sekali lagi tentang isu cadangan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sehingga tercetusnya pertikaian masyarakat.

“Lakaran kata mungkin kadang-kadang mengelirukan kerana kerajaan baharu enam bulan, menteri juga baharu kenyataan tidak semuanya cekap dan matang.

“Saya yakin dari segi landasan misalnya ICERD, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) sebut dengan tegas tidak mungkin berlaku sekarang,” katanya ketika menyampaikan ucapan Syarahan Za’ba bertajuk ‘Melayu dan Islam Dalam Era Malaysia Baharu’ di Universiti Melayu hari ini.

Beliau berpendirian tidak patut kelompok tertentu membahaskan isu ICERD apatah lagi setelah dikatakan ianya tidak akan dilaksanakan segera, sebaliknya beberapa pertikaian khususnya melibatkan Perlembagaan Persekutuan perlu dikaji sebelum melaksanakannya mengikut kesesuaian.

“Kita kena lihat, kita akan bentangkan dan kita akan bahaskan lihat kesesuaianya pertama kita anti diskriminasi , kita orang Melayu Islam memuliakan insan dalam negara kita warganegara mempunyai hak yang sama jadi kota menentang penindasan kaum.

“Tapi bila dicerakin secara terperinci ada peruntukan yang membimbangkan kerana sebab peruntukan Perkara 152,153 apakah akan tercabar?

“Saya menegaskan, kita faham keresahan sebahagian masyrakat kita maka tidak wajar dibahaskan oleh satu kelompok dan dibuka kepada perbincangan tapi tidak mungkin dilakasanakan sekarang kita harus teliti hanya jika ia tidak menjejaskan keistimewaan Islam dan Melayu barulah boleh dipertimbangkan ini keputusan,” ujarnya sambil memberi jaminan  Malaysia di bawah PH tidak akan lari daripada prinsip Melayu dan Islam.

Walaubagaimanapun Anwar akui ICERD tidak boleh ditolak secara keras memandangkan Malaysia merupakan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebab apa kita tak kata batal terus? Sebab ini perjanjian konvensyen di peringkat antarabangsa oleh PBB… kita ahli PBB. 100 negara dah lulus. Kita tak boleh tolak (dengan) sombong begitu sebab kita ahli masyarakat dunia.

“Jadi kita kata kaji, ulas, dengar pandangan dulu. Tapi kita tak boleh tolak ansur dengan status Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera,”tambahnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memulakan ucapannya berkenaan ICERD dengan menyalahkan Barisan Nasional (BN) yang mengangkat isu tersebut pada lapan tahun yang lalu.

“Saya telaah balik itu diangkat oleh rejim dulu tahun 2010, ia salah BN kerana mengangkat pada 2010 yang kita nak teruskan sebab apa, tetapi jangan lupa faktanya yang bawa untuk perbicaraan tahun 2010,” katanya.

Anwar juga tidak melepaskan peluang menyelar individu yang kononnya mahu mempertahankan Melayu dan Islam di jalanan ekoran isu ICERD.

“Dan ada orang-orang yang pertahankan mati-matian Melayu dan Islam sekarang biarkan puluh bilion dirompak depan mata… Saya sangat hairan dengan jagoan-jagoan jalanan kalau sekadar menjerit soal bangsa tetapi membiarkan rompakan puluh bilion dollar Amerika (1MDB),” katanya lagi. -MalaysiaGazette