SHAH ALAM – Penyanyi Hael Husaini membuktikan kemampuannya sebagai komposer apabila tiga lagu ciptaannya bersama Ezra Kong layak bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33).
Lagu tersebut adalah Hajat manakala Haram adalah lagu duetnya bersama Dayang Nurfaizah dan Nisan Cinta yang dicipta mereka bersama Mike Chan menerusi paduan suara Siti Nordiana dan Jaclyn Victor.
Sementara itu lagu lain yang turut melayakkan diri ke pertandingan berprestij itu adalah Sampai Bila nyanyian Misha Omar, lagu hasil ciptaan Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri, Semakin (Siti Sarah / Mera Utama), Bunga (Ara Johari / Hang Nadim / Laq / Kadok), Luluh (Khai Bahar) dan Di Matamu (Sufian Suhaimi / Sirkhan & Rinkarnaen).
Lagu lain adalah Kau Pun Sama (Syamel / Kidd Santhe / Syamel), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Aman Ra / Haqiem Rusli / Omar K / Ikhwan Fattana / Aman Ra), Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer / Farouk Roman / Amylea) dan Bunga (Altimet / Omar K / John Jeevasingam / Altimet).
Keputusan berkenaan diumumkan pada minggu ketiga pertandingan Separuh Akhir Muzik Muzik 33 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini malam tadi.
Sementara menunggu keputusan diumumkan, penonton dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Hazama & The Penglipur Lara serta Rahmad Mega.
Program separuh akhir rancangan hiburan popular itu yang bersiaran selama tiga minggu berturut-turut, bermula 22 November lalu, menyaksikan 30 lagu berentap merebut tempat ke AJL 33.
Karya pada peringkat separuh akhir dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri, Helen Yap, Edrie Hashim, Ajai, Azmeer, Lok U dan Cat Farish.
Dihoskan oleh Haziq Hussni dan Sherry Alhadad, rancangan berkenaan turut disiarkan secara langsung di portal video tonton (www.tonton.com.my) dan youtube @TV3Malaysia.
AJL3 dijangka bakal berlangsung pada Februari 2019. – MalaysiaGazette