Home Utama Malaysia benam Myanmar, layak ke separuh akhir

Malaysia benam Myanmar, layak ke separuh akhir

Pemain Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (kanan) meraikan gol pertama Malaysia bersama rakan sepasukan semasa perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Malaysia layak ke separuh akhir kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 selepas membenam Myanmar 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Harimau Malaya yang turun dengan misi wajib menang selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi gandingan dua penyerang berbisa Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha Abd Razak.

Malaysia menamatkan sisa perjuangan pelawat apabila berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-87 selepas bola terkena kepala Zaquan sebelum masuk ke gawang.

Apa pun tiga mata tersebut cukup berharga diraih anak buah Tan Cheng Hoe kerana berjaya membalas dendam di Yangon dua tahun lalu apabila disingkirkan lawan yang sama di peringkat kumpulan.

Kemenangan ketiga itu meletakkan Malaysia yang juga juara 2010 di tangga kedua, dengan sembilan mata di belakang pendahulu Vietnam (10 mata) yang menewaskan Kemboja 3-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Pada peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung secara timbal balik bermula 1 Disember ini, lawan Malaysia bakal ditentukan sama ada Thailand, Filipina atau Singapura yang kini merebut slot ke separuh akhir dalam Kumpulan B. – MalaysiaGazette