KUALA LUMPUR – Gaya hidup yang kini sentiasa sibuk mengejar masa sedikit sebanyak mempengaruhi budaya kehidupan masyarakat terutama dalam mengubah sikap dan pemikiran lebih ke depan.
Perubahan itu tidak terkecuali dalam adat tradisi masyarakat Melayu seperti penganjuran majlis perkahwinan.
Akibat daripada angin perubahan moden hari ini, budaya asal orang Melayu ini semakin berbeza terutama dari aspek pakaian dan upacara majlis perkahwinan yang dianjurkan berberza dengan adat lama yang diamalkan sebelum ini.
Realitinya, tidak semua perkahwinan masyarakat Melayu hari ini benar-benar mengamalkan adat dan budaya perkahwinan lama gara-gara generasi baru gemarkan lebih bersifat moden dan ringkas.
Senario itu melahirkan kebimbangan kepada seorang Perancang Perkahwinan yang berpendapat konsep perkahwinan Melayu kian terhakis dan berharap ia dapat dihidupkan kembali demi memastikan adat itu tidak lenyap begitu sahaja.
Menurut Pengarah Kimira Event Management (Kimira), Mohamed Jusri Mohamed Zubir ketika ini perlu ada usaha yang berterusan untuk menyedarkan kembali masyarakat Melayu mengenai pentingnya majlis perkahwinan bertemakan Melayu tradisi agar ia dapat dibanggakan oleh generasi muda hari ini.
Katanya, budaya dan adat perkahwinan tradisi semakin terhakis dan banyak dipengaruhi unsur luar yang banyak menekankan soal moden dan ringkas sehingga mempengaruhi golongan anak muda Melayu pada masa ini.
”Saya merasakan pada hari ini perlu ada banyak majlis perkahwinan Melayu yang menonjolkan keunikan adat perkahwinan Melayu agar generasi muda hari ini dapat melihat sendiri dan mengamati keistimewaannya.
”Perlu diingatkan, cara perkahwinan tradisional masyarakat Melayu sangat unik dan istimewa, oleh itu saya agak terkilan jika ini semua dilupakan dan terhakis begitu sahaja satu hari nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette pada di Dataran Underground, Dataran Merdeka di sini baru-baru ini.
Mohamed Jusri, 43, menambah pihaknya tampil memperkenalkan pakej perkahwinan Melayu tradional dalam usaha mempertahankan amalan perkahwinan tradisi agar terus menjadi kelaziman dalam kehidupan seharian.
Jelas beliau yang berpengalaman dalam mengendalikan majlis perkahwinan selama 10 tahun, Kimira hanya mengenakan pakej berpatutan bermula serendah RM18,999 untuk 1,000 tetamu.
Apa yang menarik, bakal pengantin tidak perlu pening kepala lagi membabitkan kos lain kerana ia meliputi pakej katering makanan, minuman, Andaman, hidangan pengantin, kek bertingkat, jurugambar dan dekorasi penuh dalam dewan.
“Dataran Underground ini juga akan ditransformasi sebagai dewan perkahwinan yang gah termasuk menyediakan PA sistem, layar skrin, projektor selain parkir yang mampu membuat 500 kereta pada satu masa.
”Kimira juga akan menonjolkan adat lama seperti pelayan lelaki memakai baju Melayu dan bertengkolok dan pelayan wanita memakai baju kurung dan songket serta kehadiran hulubalang memegang tombak menyambut kehadiran tetamu.
”Jadi si sinilah, masyarakat dapat melihat amalan dan tradisi terus dikekalkan termasuk menyediakan makanan Melayu yang asli,” katanya yang mengendalikan Kimira bersama rakan bisnes, Mohd. Rimi Ismail.
Mohamed Jusri turut yakin Dataran Underground mampu menjadi pilihan utama bakal mempelai pada masa akan datang berdasarkan faktor jenama besar Dataran Merdeka dan lokasinya yang strategik.
Jelas beliau, pada hari ini masalah utama bagi bakal pengantin adalah mencari dewan majlis perkahwinan di tengah Kuala Lumpur.
“Jadi nama Dataran Merdeka itu sudah dikenali dan mudah akses ke sini serta kemudahan lain seperti parkir yang luas, surau dan berpeluang mengunjungi tempat menarik dan bersejarah di kawasan sekitar selepas majlis berakhir.
“Selain itu masalah tempahan dewan juga tidak timbul kerana Kimira hanya akan beroperasi sepenuhnya pada Januari depan dan banyak lagi hari yang kosong yang boleh ditempah bakal pengantin,” katanya.
Sementara itu, orang ramai yang berminat menggunakan khidmat Kimira termasuk majlis dan acara lain boleh menghubungi talian 0182268666 (Jusri) dan 0126469744 (Rimi) – MalaysiaGazette