Home Politik Pas teman sejati UMNO – Zahid

Pas teman sejati UMNO – Zahid

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerangkan kepada ahlinya bahawa parti itu harus mencari kerjasama baharu dengan mana-mana parti politik yang selari untuk melakukan permuafakatan.

Jelasnya, UMNO tidak mahu melihat kerjasama itu sebagai kolaborasi politik semata-mata namun bekerjasama atas sesuatu isu yang membawa kepentingan kepada rakyat.

“Fahamlah bahawa isu dipanggil bola tanggung terlalu banyak. Kita bekerjasama janganlah takut. Kalau kita bekerjasama dengan Pas, parti itu adalah teman sejati baru kita.

“Apa salahnya kita berkolaborasi. Kita membuka tangan untuk mendakap keikhlasan Pas bagi kerjasama dengan UMNO dalam isu-isu. Ini saya kena terangkan,” katanya dihadapan lebih 2,000 ahli UMNO Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena program lawatan beliau bersama Majlis Kerja Tertinggi UMNO hari ini.

Justeru itu, kesemua tiga juta ahli UMNO tidak perlu risau dengan hala tuju baharu itu kerana parti itu kini bersama-sama dengan Pas sebagai pembangkang.

“Jangan risau, sifat Melayu kita tidak akan ketepikan, dalam politik tidak ada musuh dan rakan yang kekal dalam politik. Dulu kita diajar benci DAP. Dulu kita diajar benci PKR betul tak? Sekarang ini (mereka) cium mulut (kerjasama).

“Walau Pas (dulu) kita suruh benci, kita bukan nak cium mulut. Kita dakap dia atas nama isu,” katanya lagi.

Pada Khamis lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua parti itu sama sekali tidak bergabung sebaliknya hanya menjalinkan hubungan kerjasama bagi memperkukuh kedudukan mereka sebagai pembangkang.

Kerjasama itu katanya penting bagi membolehkan dua parti pembangkang itu berdepan dengan pelbagai isu penting yang berbangkit berkaitan negara. -MalaysiaGazette