KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengingatkan Pakatan Harapan (PH) faham realiti terkini bahawa umat Islam dan Melayu berada dalam ketakutan dan tertekan kerana kegagalan kerajaan mempertahankan agama persekutuan.
Jelasnya Amir ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman pemimpin yang berada dalam kerajaan yang majoritinya bukan Islam pula didakwa cuba membawa dan menerapkan budaya Barat.
“Mereka harus tahu, harus faham, malangnya kebanyakan daripada mereka seolah-olah datang dari zaman gelap bukan datang dari sejarah negara kita datang dengan karut marut nak bawa pengalaman Barat, pengalaman Barat, Kristian yang dulunya hidup dalam kegelapan seolah-olah kita akan dapat cahaya jika adaptasi.
“Pemimpin ini ‘makhluk asing’ yang tidak faham kehendak rakyat Malaysia. Inilah malapetaka yang sedang hadapi kita dan dirasai oleh semua kita. Kita semua tahu kerajaan Malaysia baharu ini bersangkut paut dengan kesan pilihan raya yang lepas melahirkan kerajaan baharu di mana di dominasi oleh orang bukan Islam.
“Walaupun kita lihat muka-muka pemimpin ini Melayu dan Islam tetapi mereka tidak boleh membawa suara Islam kerana pemikiran mereka telah dibentuk oleh pihak-pihak asing atau pun kerena mereka terpaksa meraih pengundi-pengundi majoriti mereka yang bukan Islam,” katanya ketika menyampaikan ucapan rasmi Konvensyen PERTIWI: Mempertahankan Wilayah Islam Mendepani Cabaran Dakwah Islam Era Malaysia Baharu hari ini.
Walaupun telah menjanjikan untuk membawa Malaysia baharu selepas pilihan raya namun menurut Abdullah Zaik, PH gagal menawarkan pentadbiran dan masa depan yang baik sebaliknya memberi ancaman kepada kaum Melayu dan umat Islam.
“Malaysia baharu pada persepsi pertama kita, kita menemukan harapan, mengharapkan sesuatu yang indah tetapi malangnya Malaysia baharu datang kepada kita dengan penuh huru-hara Malaysia baharu yang datang membunuh segala harapan, Malaysia baharu yang datang dengan penuh kegelapan.
“Saya bercakap bagi pihak umat Islam khususnya umat Melayu dalam kita mencari makna Malaysia baharu kita tidak jumpa sesuatu yang indah. Malaysia baharu seakan-akan menjadi ancaman memberi bahaya menyebabkan seluruh umat Islam khususnya umat Melayu dalam ketakutan dan tertekan,” katanya lagi.
Maka Abdullah Zaik berpendirian situasi itu wajib diperbaiki sebelum umat Islam dan Melayu terpingiir di negara sendiri.
“Keadaan ini yang perlu diubah dan diperbetulkan tidak mungkin boleh dibenarkan diteruskan, mesti ada usaha pembaikan ini suatu tuntutan yang perlu dan wajib kalau tidak maka umat Islam yang komposisinya majoriti akan menjadi kumpulan yang tertindas, tertekan yang dinafikan hak dan terpinggir di negara sendiri jika keadaan ini tidak berubah,” ujar beliau. -MalaysiaGazette