SERDANG – Sekali pandang ketika dia memakai cermin mata hitam, raut wajah jejaka ini tiada yang kurang.
Dia seperti golongan lelaki lain yang boleh dikategorikan pandai menjaga penampilan dan nampak bergaya.
Namun di sebalik cermin mata itu, tersimpan banyak rahsia buat Muhammad Zarif Abdul Kadir.
Sepanjang 28 tahun bernafas, dia hanya mampu menjalani hidup dengan menggunakan hanya satu mata sahaja.
Ini kerana mata kanannya buta sejak dilahirkan selepas menghidap sejenis penyakit ‘lazy ice’ dan mengakui sukar menjadi orang kelainan upaya (OKU).
Bagaimanapun, anak kedua daripada empat beradik itu mengakui dia pernah malu dengan dirinya sendiri.
Namun Muhammad Zarif akhirnya akur dan menerima hakikat takdir hidupnya yang tidak seperti manusia normal lain.
“Mula-mula memang saya tidak boleh terima saya buta sebelah mata dan malu hendak jumpa orang tapi akhir saya fikir balik sampai bila hendak malu.
“Saya perlu bersyukur sekurang-kurangnya masih boleh melihat menguna satu mata berbanding OKU lain yang buta kedua-dua mata.
“Jadi saya lawan diri saya dan cabar untuk buat sesuatu seperti sekarang menjadi usahawan trak makanan. Dulu masa zaman sekolah, saya pernah kena ejek tapi lama-lama saya anggap sebagai perkara normal,” katanya.
Dia yang sudah berkahwin ditemui di MAEPS sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro 2018 (MAHA 2018) di sini hari ini.
Muhammad Zarif menambah, antara kesukaran hidup yang dilaluinya apabila memandu kereta ketika perlu memandang cermin sisi sebelah kanan.
Jelas pemilik Diploma Ekonomi Islam itu, dia perlu menoleh leher untuk menggunakan mata kirinya.
“Tapi lori pun saya boleh boleh pandu,” katanya tersenyum.
Mengulas bisnesnya sebagai usahawan, dia menceburi bidang trak makan sejak tahun 2016 dengan memilih menu pizza menerusi jenama Piece-Za.
Jelas beliau, dia nekad berhenti kerja di sebuah syarikat swasta selama tiga tahun demi jiwa dan minat memiliki perniagaan sendiri.
“Apatah lagi usahawan trak makanan merupakan cabang bisnes baharu dan semakin popular pada hari ini. Menjadi usahawan trak makanan sangat menarik kerana saya dapat berniaga ke merata tempat. Pada masa sama, bisnes pizza pula masih kurang namun permintaan di kalangan peminatnya agak tinggi,” katanya.
Muhammad Zarif berkata, Piece-Za menawarkan 13 menu menggunakan resipi sendiri dengan menu istimewa dan menjadi pilihan utama adalah pizz grill beef dan pizza grill chicken.
Jelasnya harga yang dijual bermula serendah RM3 hingga RM30 mengikut kategori saiz.
“Saya menggunakan modal sebanyak RM30,000 menggunakan simpanan sendiri dan juga pinjaman selain pinjaman bank untuk membeli lori.
“Pada masa sama, saya ingin mengucap terima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan kerana memberi geran Agropreneur Muda,” katanya yang turut menyediakan khidmat katering pizza bagi apa jua jenis acara dan majlis keramaian.
Menutup perbualan, Muhammad Zarif sempat menitipkan pesanan kepada OKU lain agar jangan malu dengan diri sendiri.
“OKU perlu maju ke hadapan, kena yakin dan jangan cepat putus asa. Kita sebenarnya sama sahaja dengan manusia normal lain,” katanya penuh semangat.- MalaysiaGazette
Semoga suami ku terus kental dengan usahanya untuk menarik lebih ramai lg usahawan2 oku dan usahawan2 normal berjaya dunia dan akhirat. Sentiasa kuat dan positif ya. Saya sentiasa mendoakan yg terbaik. Sayang dia selalu
Tahniah buat adik iparku…walau matamu sebelah kelihatan x berapa normal, apa yang paling penting bukan lahiriahmu tapi rohaniahmu itu yg paling penting.
Ada org lahiriahnya cantik, kaya tapi perangai sikapnya serta keazamannya truk. Tak boleh trima takdir skiranya dirinya buruk, miskin dsb.
Terus maju dalam perniagaanmu kini, abgmu ini tetap menyokongmu dari blkg secara diam2. Buatlah yang terbaik demi masa depanmu. Ku sentiasa mendoakan kebahagian kamu berdua.