Home Nasional Batalkan ICERD secara rasmi – Ikatan

Batalkan ICERD secara rasmi – Ikatan

Seorang penyokong memegang poster ’tolak ICERD’ pada Himpunan Rakyat Bantah ICERD di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018
Seorang penyokong memegang poster ’tolak ICERD’ pada Himpunan Rakyat Bantah ICERD di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Malaysia menggesa Kerajaan Pakatan Harapan membatalkan pengesahan tidak akan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dalam sidang Parlimen.

Ia bagi menutup terus isu berkenaan secara rasmi dan dipersetujui oleh Pakatan Harapan dan pembangkang.

“Kenyataan pengumuman pembatalan ratifikasi yang dibuat menerusi Pejabat Perdana Menteri tidak mencukupi untuk menunjukkan penolakan sebulat suara kerajaan Malaysia terhadap ICERD,” kata Ketua Pemuda Ikatan, Shahrir Adanan dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu seiring dengan suara UMNO yang menyifatkan kenyataan akhbar dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri mengenai keputusan kerajaan PH tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) didakwa tidak mengikut formaliti pentadbiran.

Kenyataan akhbar seumpama itu tidak boleh diterima dan tidak menjamin bahawa ia akan berubah pada bila-bila masa, apatah lagi ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perkara itu hanya boleh disahkan melalui tanda tangan Perdana Menteri sendiri yang kemudiannya membawa usul itu ke Parlimen agar dapat direkodkan dalam hansard rasmi.

Dewan Pemuda Ikatan, kata Shahrir turut menggesa menteri-menteri lain menarik balik kenyataan tidak berasas mereka yang menyatakan bahawa ICERD tidak menggugat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, kenyataan mereka sebelum ini jelas bercanggah dengan kenyataan media Pejabat Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan keputusan itu bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, yang mana termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Dewan Pemuda IKATAN berharap isu ICERD ini tidak akan dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak demi menjaga keharmonian perpaduan kaum di Malaysia dan kesejahteraan hidup semua anak Bangsa Malaysia.

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dan biarkan negara ini ditadbir mengikut acuan sendiri berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan tanpa campur tangan kuasa asing.

Dewan Pemuda Ikatan turut mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang turun padang menunjukkan bantahan terhadap ICERD. – MalaysiaGazette