Home Ekonomi Bursa diramal terus menurun

Bursa diramal terus menurun

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka meneruskan penurunannya minggu depan susulan daripada pendekatan tunggu dan lihat oleh pelabur, aktiviti pengambilan untung dan sikap berhati-hati sementara menunggu keputusan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Ketua Pegawai Urusan Perniagaan M&A Securities Sdn Bhd R. Sundararajah berkata, bursa tempatan, dengan indeks utama dijangka berada sekitar paras 1,680 mata akan menyaksikan aktiviti membeli saham berharga rendah sederhana terutamanya dalam kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna.

“Mengenai perkembangan luaran, jika terdapat berita positif daripada rundingan perdagangan antara AS dan China yang berlangsung minggu depan di Argentina, kita boleh melihat aliran lantunan semula.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kami menjangkakan sentimen tempatan yang tidak menentu, dengan indeks yang turun naik apabila para pelabur dijangka melepaskan pegangan mereka menjelang akhir tahun,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya tinggi berikutan aktiviti membeli saham berharga rendah.

Pasaran saham tempatan dipengaruhi terutamanya oleh prestasi di Wall Street dan pasaran serantau serta harga minyak mentah dunia.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 10.5 mata kepada 1,695.88.

Indeks FBM Emas susut 89.17 mata kepada 11,778.89, Indeks FBMT100 berkurangan 87.74 mata kepada 11,629.61 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 119.98 mata kepada 11,835.82.

FBM 70 meningkat 114.75 mata kepada 13,873.95 dan FBM Ace turun 4.93 mata kepada 4,940.19.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 12.92 mata kepada 17,314.59, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.55 mata kepada 172.46 manakala Indeks Perladangan susut 74.49 mata kepada 7,182.15.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 6.96 bilion unit bernilai RM6.04 bilion daripada 8.08 bilion unit bernilai RM7.62 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 4.34 bilion saham bernilai RM5.41 bilion daripada 5.06 bilion saham bernilai RM6.81 bilion pada Jumaat minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.48 bilion unit bernilai RM371.96 juta daripada 1.56 bilion unit bernilai RM398.12 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.14 bilion saham bernilai RM254.49 juta berbanding 1.45 bilion saham bernilai RM406.14 juta.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum Maulidur Rasul. – MalaysiaGazette